Isu buli: Tidak wajar tuding jari salahkan Menteri Pendidikan - Wanita Perak
- Suara Keadilan

- Aug 17
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Isu buli di sekolah tidak wajar dibebankan sepenuhnya kepada Menteri Pendidikan, sebaliknya masyarakat perlu disedarkan bahawa tanggungjawab mendidik adalah bermula daripada rumah.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan dan Kesejahteraan Wanita Perak, Junaida Jamaludin (gambar) menegaskan budaya buli sememangnya sudah lama wujud di mana-mana institusi dan lazimnya ia berpunca daripada masalah yang dibawa dari rumah.
"Tempat pertama manusia dibentuk adalah di rumah. Jika ada perkara yang tidak beres di sana, ia sering dilampiaskan kepada orang sekeliling.
"Pendidikan keibubapaan dan perkembangan awal kanak-kanak wajar diterapkan sejak bakal pengantin lagi. Budaya dan akhlak yang baik mesti dibentuk dari awal," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berdepan tohmahan dan tuduhan dari segelintir pihak yang cuba memanipulasi isu kematian Zara Qairina Mahathir yang sebelumnya ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.
Tindakan tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar berhubung insiden itu telah menimbulkan kekeliruan dan mempengaruhi persepsi awam terhadap kes yang masih dalam siasatan.
Sementara itu Junaida yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Muallim menyifatkan, dalam kes kematian Zara Aqirina, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menyalahkan Menteri Pendidikan yang tanggungjawabnya adalah mengurus ribuan sekolah serta ratusan ribu pelajar.
"Cukuplah menuding jari kepada YB Menteri yang cukup bekerja keras, sedangkan yang lebih utama ialah membawa pembuli ke muka pengadilan.
"Masyarakat pula perlu bersama-sama berganding bahu membendung gejala buli agar sekolah menjadi tempat selamat untuk semua pelajar," tegasnya.









Comments