Isu Bendera Terbalik Jangan jadi Modal Politik Perkauman - AMK Gombak
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak mengecam tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang mengadakan perarakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis berhubung isu Jalur Gemilang dikibarkan terbalik, dan menyifatkannya sebagai cubaan meniup api kebencian kaum demi kepentingan politik.
Timbalan Ketua AMK Gombak, Hayee Zailani, berkata walaupun mengibarkan bendera secara terbalik adalah satu kesalahan, tindakan lebih jijik ialah apabila isu itu dijadikan modal politik perkauman.
"Memasang bendera secara terbalik memang salah, tetapi jauh lebih jijik apabila isu ini dijadikan modal politik perkauman.
"Tindakan Akmal Saleh meniup api kebencian kaum jelas menunjukkan betapa politik murahan sedang dimainkan demi kepentingan peribadi, bukannya kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hayee, sebagai pemimpin muda, Dr Akmal sepatutnya mendidik masyarakat untuk menghormati undang-undang, bukannya menghasut untuk bertindak sendiri.
"Jabatan Peguam Negara telah menegaskan perkara seperti ini mesti diselesaikan melalui saluran undang-undang, bukan dengan provokasi jalanan," tegasnya.
Hayee turut menegaskan bahawa perpaduan rakyat jauh lebih penting daripada agenda politik sempit dan berbahaya.
"AMK menolak sekeras-kerasnya cubaan mana-mana pihak yang mahu mengheret negara ke kancah perkauman. Kita akan terus mempertahankan undang-undang dan keharmonian nasional daripada politik kebencian sempit," katanya.
Untuk rekod, Dr Akmal dilaporkan media mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, Bersatu dan Pas dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.
Sehubungan itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.
Bagi DAP tindakan Akmal itu mengabaikan amaran Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang agar tidak mengadakan perhimpunan awam.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim pula menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan dan menyifatkan perarakan itu sebagai provokatif serta menyalahi undang-undang. Beliau mendakwa perarakan tersebut menggugat usaha memupuk perpaduan sempena bulan kemerdekaan.
Kommentare