top of page

Isu banjir di Johor: Kerajaan Negeri BN perlu tunjuk pelan jelas

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 minute ago
  • 2 min read

Barisan Nasional (BN) Johor digesa menyatakan komitmen yang lebih jelas dan menyeluruh dalam menangani isu banjir di Johor, susulan pelbagai cadangan yang telah dikemukakan oleh blok pengimbang di Dewan Undangan Negeri.


Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong (gambar) berkata masalah banjir di Johor masih berlarutan dan memberi kesan besar kepada rakyat walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.


Menurut beliau, Kerajaan BN negeri perlu menjelaskan kepada rakyat Johor mengenai tindakan sebenar yang telah diambil serta sebab isu banjir masih belum dapat ditangani secara berkesan.


"Bagi pihak pengimbang, saya bersama Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor sentiasa membangkitkan isu ini dan mengemukakan pelbagai cadangan kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perling turut merujuk beberapa kejadian banjir besar yang berlaku di Johor, termasuk di Segamat pada Mac 2023 menyaksikan kawasan Chaah antara yang terjejas teruk serta banjir besar di kawasan DUN Perling pada Mac 2025 yang menjejaskan lebih 1,000 keluarga.


Katanya kejadian banjir tersebut telah menyebabkan kerosakan kediaman, gangguan kepada perniagaan serta kehilangan pendapatan khususnya dalam kalangan pekerja harian selain memberi tekanan emosi kepada penduduk terjejas.


Dalam kenyataan sama, beliau turut mengalu-alukan hasrat BN untuk memberi tumpuan kepada idea dasar menjelang pilihan raya negeri, namun menegaskan bahawa usaha tersebut perlu disusuli dengan tindakan konkrit.


Antara cadangan yang dikemukakan beliau termasuklah penambahbaikan sistem penyelenggaraan longkang dan sungai oleh pihak berkuasa tempatan, pembinaan sistem perparitan lebih sistematik di Johor Bahru sebagai bandar raya antarabangsa, serta pemantauan lebih ketat terhadap projek pembangunan.


Beliau turut menekankan keperluan menilai semula projek pembangunan seperti perumahan, industri dan pusat data bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sistem saliran, termasuk risiko banjir akibat aktiviti pembersihan tanah.


Selain itu, Chin Tong mencadangkan pendekatan berasaskan alam semula jadi seperti penanaman semula pokok, pemuliharaan kawasan tanah lembap dan bakau, serta pengurusan air hujan yang lebih bersepadu.


Beliau turut mencadangkan penglibatan lebih aktif semua ADUN dan Ahli Parlimen dalam jawatankuasa bencana di peringkat daerah serta penubuhan jawatankuasa pilihan khas berkaitan perubahan iklim, perancangan bandar dan luar bandar di peringkat Dewan Negeri Johor.


"Pendekatan lama tidak lagi mencukupi kerana perubahan iklim telah mengubah corak cuaca. Kita perlu pelan tindakan banjir dan perubahan iklim yang lebih menyeluruh," katanya.


Beliau pada masa sama mengakui beberapa cadangan telah mula diterima dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui penubuhan jawatankuasa berkaitan, namun menegaskan ia masih belum mencukupi.


"Bangsa Johor berhak mengetahui sejauh mana kesungguhan dan komitmen Barisan Nasional untuk mengatasi banjir," katanya, sambil menyeru semua pihak berganding bahu menangani isu tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page