top of page

Isu Baja 3: 'Menteri bertindak sebelum pempengaruh buat bising'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
DS Mohamad  (tengah) berbincang bersama KPB, SUB PIP dan GM MADA di MARDI Kota Raja, Selangor pada 18 Ogos 2026, menunjukkan Menteri telah bertindak sebelum pempengaruh 'buat bising' di media sosial
DS Mohamad (tengah) berbincang bersama KPB, SUB PIP dan GM MADA di MARDI Kota Raja, Selangor pada 18 Ogos 2026, menunjukkan Menteri telah bertindak sebelum pempengaruh 'buat bising' di media sosial

Tindakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan MADA telah dimulakan sebelum isu berkenaan mendapat perhatian meluas di media sosial.


Setiausaha Akhbar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Adeysham Nor berkata, dakwaan bahawa Menteri hanya bertindak selepas isu tersebut diviralkan pempengaruh di media sosial adalah tidak tepat berdasarkan kronologi tindakan yang telah diambil.


Beliau berkata Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat pembekal dikeluarkan pada 27 April 2026, dengan tempoh kontrak bermula 5 Mei hingga 1 Oktober 2026, manakala pembekalan bermula 11 Jun dengan komitmen 400 metrik tan sehari.


“Namun, melalui laporan yang dibentangkan dalam mesyuarat mingguan bersama Menteri, didapati penghantaran terhenti beberapa kali dan pembekal gagal memenuhi komitmen yang ditetapkan,” katanya dalam muat naik di media sosial.


Adeysham berkata, apabila kelewatan berlarutan dan timbul persoalan mengenai kualiti bekalan, Mohamad sendiri turun ke kawasan MADA pada 12 Ogos bagi mendapatkan gambaran sebenar daripada pihak pengurusan dan pesawah.


"Pada ketika itu, pendirian Menteri sudah jelas bahawa kegagalan tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan dan tindakan menamatkan kontrak perlu dipertimbangkan. Alasan nak beri peluang kepada syarikat Bumiputera tidak lagi boleh diterima. Enough is enough," katanya.


Beliau berkata, bagaimanapun kontrak kerajaan tidak boleh ditamatkan hanya berdasarkan arahan lisan atau tekanan media sosial kerana ia perlu melalui proses undang-undang dan tatacara ditetapkan bagi melindungi kepentingan kerajaan.


"Namun sebuah kontrak Kerajaan tidak boleh ditamatkan hanya dengan satu arahan lisan atau kerana tekanan media sosial. Ia perlu melalui proses undang-undang dan tatacara yang betul supaya kepentingan Kerajaan tidak terdedah kepada implikasi kemudian hari," katanya.


Menurut Adeysham, pada 18 Ogos, Menteri memanggil Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi serta Pengurus Besar MADA bagi mencari penyelesaian segera.


Katanya, Menteri kemudian dimaklumkan bahawa pembekal mempunyai tempoh sehingga 26 Ogos untuk memenuhi obligasi dan kegagalan berbuat demikian membolehkan penamatan kontrak dipertimbangkan.


"Seperti dijangka syarikat tersebut telah gagal memenuhi obligasinya."


Adeysham berkata sehari selepas tempoh berkenaan tamat, iaitu pada 27 Ogos, Mohamad terus menulis kepada Perdana Menteri memohon kontrak tersebut ditamatkan dan NAFAS dilantik melalui rundingan terus bagi menyelesaikan baki pembekalan kepada pesawah.


"Permohonan tersebut kemudiannya dipersetujui oleh Perdana Menteri," ujarnya.


Beliau berkata tindakan yang diambil menunjukkan proses menangani isu itu telah berjalan lebih awal, termasuk pemantauan melalui mesyuarat pasca Kabinet, turun ke lapangan, mendapatkan nasihat undang-undang dan menunggu tamat tempoh obligasi pembekal sebelum permohonan penamatan kontrak dibuat.


"Jadi apabila netizen berkata Menteri hanya bertindak selepas isu ini viral, pada saya sangat tidak tepat."


Menurutnya, keutamaan Menteri kini adalah memastikan baki baja untuk kawasan tanaman sekitar 63,100 hektar disalurkan secepat mungkin dan kebajikan pesawah terus dibela.


"Tidak semua mesyuarat, arahan dan proses dalaman Kerajaan diumumkan setiap hari di Facebook.


"Sekarang keutamaan Menteri bukan untuk menang berhujah di media sosial. Keutamaannya ialah memastikan baki baja bagi kawasan tanaman sekitar 63,100 hektar sampai secepat mungkin dan nasib pesawah sentiasa dibela," katanya.


Adeysham berkata kritikan terhadap tindakan kerajaan dialu-alukan sekiranya dibuat berdasarkan fakta.


"Kritiklah. Tegurlah. Menteri sendiri terbuka menerima kritikan.


"Tetapi biarlah berdasarkan fakta," tegasnya.


Beliau berkata ukuran utama dalam isu tersebut bukanlah pihak yang paling pantas membuat hantaran di media sosial, sebaliknya ketepatan fakta dan kebenaran dalam menyampaikan maklumat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page