Pemimpin Amanah hari ini menuntut satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menghantar memorandum ke Pejabat Perdana Menteri (PM) petang ini bersama pemimpin kanan lainnya, RCI penting kerana kekebasannya lebih terjamin berbanding siasatan biasa.
"Satu memorandum telah pun kita serahkan kepada PM tentang isu pemilikan saham yang sangat mencurigakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang telah menjadi berita nasional dan antarabangsa.
"Kami mengambil tanggungjawab ini supaya satu tindakan tegas diambil. Dan rakyat tidak boleh terima apa pun alasan. Sebagai bekas anggota pentadbiran, saya sebagai Menteri dan Datuk Mahfuz sebagai Timbalan Menteri, kami tahu prosedur kerajaan.
"Isu sepenting ini sepatutnya dibincangkan dengan serius dalam kabinet. Masa kami dahulu, banyak perkara berkaitan penjawat awam kita bincang dan ambil tindakan.
"Inikan pula melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dianggap pagar paling kukuh dalam kempen kerajaan memerangi rasuah, disyaki memiliki sejumlah saham yang sangat mencurigakan
"Hal ini kita tidak boleh kita terima, kita harap suatu Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan dengan segera dan melantik pegawai kerajaan yang ada integriti serta wibawa untuk menyiasat kes ini," katanya di hadapan wartawan.
Tegas Ahli Parlimen Pulai itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang cuba menyiasat Azam Baki ketika ini tidak mempunyai cukup kuasa untuk menyingkap keseluruhan skandal pemilikan saham tersebut
Katanya tanpa siasatan yang benar benar bebas, imej Malaysia akan bertambah buruk di mata antarabangsa dan lebih banyak pelabur luar akan meninggalkan negara ini pada masa hadapan.
"Jawatankuasa Khas Parlimen tidak mencukupi untuk membincangkan isu sebesar ini. Oleh itu saya mewakili Amanah, kita mengambil pendirian bahawa isu ini amat besar dan menambah buruk nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Sebuah syarikat multinasional seperti Hyundai baru baru ini telah pindah ke Indonesia, satu perkara yang memalukan negara. Apatah lagi bila diburukkan dengan isu seperti ini. Ingat dulu 1MDB, SRC, juga seperti ini tetapi kita ambil tindakan tegas waktu dalam kerajaan dan mendakwa mereka semua ke mahkamah.
"Ini semua memerlukan komitmen Perdana Menteri yang lebih serius untuk memastikan Malaysia diselamatkan pada masa yang akan datang," katanya lagi.
Pagi tadi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dijadualkan bersidang dan memanggil Azam pada Rabu ini diumumkan akan ditangguhkan susulan bantahan Ketua Pesuruhjaya itu terhadap cara siasatan
Pengerusi PSC, Abdul Latiff Rahman memaklumkan kepada lapan anggota jawatankuasa lain bahawa dia telah menerima maklum balas daripada Azam.
Menurut beliau Azam membantah, jika mesyuarat itu diteruskan pada 19 Januari seperti yang dijadualkan maka Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat akan dilanggar. Begitu juga alasan beliau telah memfailkan saman fitnah dan perkara yang akan dibincangkan oleh PSC mungkin diterima oleh mahkamah dan menjejaskan kesnya.
Comments