Isu APMM 'ceroboh' masjid: Suhaizan mahu Takiyuddin dikenakan tindakan
- Suara Keadilan

- Oct 27, 2025
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat mahu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 'menyerang' Masjid Rusila.
Suhaizan berkata, perkara yang membimbangkan adalah imej pasukan penguatkuasa boleh tercalar jika ucapan-ucapan berbentuk provokasi seperti itu berlaku dalam Parlimen.
''Sebab itu Pulai memohon kepada Speaker (Tan Sri Johari Abdul) untuk rujuk Kota Bharu (Takiyuddin) kepada jawatankuasa khas berkenaan kenyataan tersebut semasa perbahasan RUU Perbekalan 2026 peringkat dasar pada 22 Oktober lalu.
''Dalam kenyataan itu, ianya juga termasuk dalam hansard yang mana Kota Bharu telah menyatakan bahawa dalam peristiwa pada pada 10 pagi, kira-kira dalam 10 hingga 15 orang dalam lima kenderaan mencurigakan tiba-tiba menyerbu masuk dalam Masjid Rusila.
''(Kenyataan) kedua ialah tentang masuk dalam masjid pakai kasut. Ketiga, menimbul rasa cukup tidak senang dalam kalangan rakyat dan keempat berkenaan latihan komando APMM dalam sebuah masjid tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid.
''Dan akhir sekali (soalan ditanya Takiyuddin) apakah ini gara-gara ulangan peristiwa Memali pada tahun 1985, penyerangan terhadap tempat suci ibadah rakyat?'' katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Suhaizan berpendapat, enam perkara yang disebutkan itu seolah-olah Takiyuddin menggambarkan keadaan yang huru-hara yang berlaku di masjid Rusila pada waktu itu apabila latihan APMM dilaksanakan.
''Tetapi apabila kita lihat balik jawapan daripada APMM sendiri bahawa di sana ianya satu latihan biasa, malah APMM maklumkan ia merupakan satu kursus komando special team & rescue (STAR) pasukan siri 1/2025 yang sedang berjalan dari 4 Ogos hingga 30 November ini.
''Kedua, APMM maklum tiada sebarang senjata yang dibawa atau digunakan serta tiada pakaian taktikal yang dipakai oleh anggota.
''Sepanjang latihan juga tiada gangguan terhadap jemaah, kerosakan harta awam masjid dan pencemaran ruang suci dengan pemakaian kasut sebagaimana didakwa.
''Keempat, pemakluman secara lisan oleh APMM juga telah diberikan kepada kariah yang mendakwa dirinya sebagai AJK masjid berkenaan," katanya.
Tambah Suhaizan, pihak APMM tidak boleh dipersalahkan berhubung persinggahan anggota mereka di masjid tersebut kerana kawasan itu adalah laluan latihan dan mereka ke sana untuk beribadah.
''Ramai tanya kenapa masjid ini dijadikan tempat pilihan? APMM kata lokasi tersebut adalah berada dalam laluan trek larian dan pelolosan latihan ECRE, ini untuk 'check point' seterusnya.
''Maknanya kawasan itu adalah kawasan laluan, sebab itu mereka meletakkan tempat itu sebagai salah satu tempat latihan dan masjid dipilih untuk pengisian rohani anggota APMM seperti solat dan iktikaf,'' jelas beliau lagi.









Comments