Isu air, jalan raya, kemiskinan ditangani Kerajaan Madani secara berperingkat
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) mempertahankan DUN Inanam, Datuk Peto Galim, menegaskan bahawa pelbagai masalah rakyat di kawasan tersebut sedang ditangani secara berperingkat oleh Kerajaan Madani, termasuk isu air, jalan raya, kesesakan lalu lintas dan kemiskinan.
Menurut beliau masih banyak isu yang perlu diselesaikan, namun menegaskan Kerajaan Madani telah bergerak secara agresif dalam tempoh dua tahun setengah ini sejak 2022 menyelesaikan masalah di DUN Inanam.
"Isu yang ada banyak, jalan raya tidak selesa, air, juga ada isu kesesakan, kemiskinan.
"Dalam dua tahun setengah (sejak Kerajaan Madani berkuasa) kita (ADUN kerajaan) buat yang terbaik, tetapi tidak cukup masa, contohnya masalah air di kawasan kampung Inanam. Memang kita akui Jabatan Air tidak boleh bekal air dengan sempurna kerana kekangan sistem yang ada dan jumlah air bersih yang kita ada," katanya kepada Suara Keadilan usai aktiviti sukan bersama belia di Kampung Kokol, Inanam.
Namun kata Peto, untuk melancarkan bekalan air di Kg Kokol itu beliau telah mengusahakan sebuah projek air graviti berskala agak besar yang akan dilaksanakan bagi menstabilkan masalah kekurangan air di kawasan sekitar.
"Untuk kawasan kampung berdekatan dengan bandar, kita usahakan projek besar. Di kampung Kokol ini kita akan buat satu sistem graviti pam air yang agak besar, projek ini sudah hampir bermula," katanya.
Beliau menjelaskan konsep projek tersebut ialah mengalirkan air secara tekanan graviti, yang mana air akan disalurkan dari dua sungai besar dan dipam masuk ke tangki besar.
"Air ini akan disalurkan ke banyak kampung di bawah. Ini akan membantu masalah kekurangan air dan projek ini akan siap satu hingga dua tahun," ujarnya.
Dalam aspek jalan raya pula, Peto menegaskan kerja-kerja menaik taraf sedang berjalan.
"Jalan raya kita tidak diam, jalan di Kokol sudah sempurna tetapi banyak jalan perlu diturap, khususnya di Inanam dan Manggatal," katanya.
Menyentuh isu kesesakan, beliau berkata langkah drastik telah mula dilaksanakan. Selain itu, usaha mengurangkan risiko banjir juga turut diberi keutamaan dengan kerajaan telah meluluskan projek tebatan banjir di Likas.
Selain itu, katanya, tumpuan utama kerajaan Madani adalah memastikan kesejahteraan rakyat, termasuk usaha pembasmian kemiskinan tegar.
"Tumpuan kita, kita mahu menyantuni rakyat, kemiskinan zero. Kita beri rumah SMJ, tahun lalu kita beri 300 rumah. Kita juga ada lawatan bantuan bakul makanan, lebih 10,000 kita beri untuk orang miskin," katanya lagi.
Datuk Peto Galim berkata segala projek yang sedang berjalan membuktikan komitmen kerajaan untuk membawa pembangunan berterusan ke Inanam, dan beliau berharap rakyat terus memberi mandat bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat direalisasikan.
Untuk rekod, Inanam merupakan kubu KEADILAN yang dimenangi sejak 2013 apabila Roland Chia Ming Shen dipilih sebagai ADUN untuk penggal 2013–2018.
Seterusnya, pada PRN Sabah 2020 Datuk Peto Galim (PKR) menang di Inanam.









Comments