Isu agama sensitif, bukan bahan jenaka politik - Wanita KEADILAN


Wanita KEADILAN Pusat mengecam tindakan Ketua Bahagian Umno Sepang yang didakwa menjadikan kisah melibatkan paderi Kristian dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 baru-baru ini.
Setiausahanya, Sangetha Jayakumar berkata kenyataan berkenaan bukanlah akibat tersasul, sebaliknya satu tindakan yang tidak menghormati pegangan agama sekali gus melukakan hati kalangan penganut Kristian khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
Beliau berkata, insiden itu mencerminkan sebahagian pihak dalam Umno masih terperangkap dengan politik berasaskan kaum dan agama sehingga gagal memahami kekuatan sebenar Malaysia yang dibina atas kepelbagaian kepercayaan dan budaya.
"Ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi dan berusaha membina kehidupan lebih baik, terdapat pihak yang memilih menggunakan isu sensitif agama sebagai bahan politik berbanding membincangkan soal pembangunan ekonomi, teknologi dan kebajikan sosial.
"Malaysia perlu melihat kepelbagaian agama dan kaum sebagai aset negara, bukannya bahan untuk meraih sokongan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sangetha menegaskan, keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka murahan di pentas politik kerana agama serta tokoh keagamaan perlu dihormati.
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terhadap insiden berkenaan serta menuntut kepimpinan Umno mengambil tindakan disiplin terhadap delegasi terbabit.
Katanya, Umno juga perlu tampil memberikan permohonan maaf terbuka kepada komuniti Kristian sebagai tanda menghormati prinsip perpaduan negara.
Semalam, Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berkata beliau bersedia memohon maaf sekiranya kisah yang disampaikan ketika berucap pada PAU beberapa hari lalu menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.
Dalam ucapannya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada Sabtu, Noorazli menceritakan jenaka berkisarkan mengenai seorang paderi memandu Proton Saga manual yang menumpangkan seorang biarawati yang dianggap sesetengah pihak berunsur seksual dan merendahkan darjat pemuka agama.




Comments