Isu Adam, Hannah, Ustazah Marhamah dijelaskan dengan baik - Fahmi
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
'Kelantangan' Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim yang sebelum ini menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan sebagai satu amalan biasa dalam dunia politik.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah diingatkan tentang penurunan harga petrol RON 95 seperti yang beliau sebutkan sebelum ini.
"Mana-mana ahli politik biasanya akan diingatkan tentang kenyataan yang pernah (mereka) buat sebelum ini.
"Dalam menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam akan dapat lebih banyak ruang untuk melihat cara terbaik bagi melaksanakan apa yang beliau sebut sebelum ini sekiranya dari segi kewangan dan pelaksanaan, ia mampu dilaksanakan.
"Ada beberapa perkara yang sebenarnya melalui PTPTN telah berjaya kita laksanakan. Contohnya hasrat untuk memberi pendidikan percuma, yang mana sejumlah penerima bantuan PTPTN yang cukup syarat dari kalangan B40, akan diberi pelepasan membayar balik hutang tersebut," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Beliau ditanya mengenai 'kontroversi' yang menghimpit Jemaah Menteri Kerajaan MADANI berhubung Adam Adli Abdul Halim, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Ustazah Marhamah Rosli.
Mengulas mengenai Hannah yang kini berada di portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Fahmi berkata, daripada segi pengurusan tidak berlaku sebarang perkara seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak yang cenderung melihat pelantikan pemimpin DAP akan menguntungkan komuniti Cina.
Beliau menjelaskan, Perdana Menteri (PM) merupakan ketua di Jabatan Perdana Menteri (JPM), maka segala tindakan atau keputusan akan dirujuk kepada Datuk Seri Anwar terlebih dahulu.
"Dan kebiasaannya, mesyuarat pasca Kabinet akan disertai oleh semua menteri-menteri di JPM. Itu kelazimannya.
"Jadi dari segi pengurusan tidak berlaku apa-apa perkara. Datuk Seri Anwar memantau dan sekiranya perlu, disampaikan nasihat atau arahan kepada Menteri-menteri dalam JPM.
"Tentang isu lantikan Ustazah Marhamah pula, beliau telah menjelaskan beberapa perkara iaitu tohmahan dan fitnah daripada pelbagai pihak.
"Saya lihat penjelasan itu agak tuntas berkait isu sama ada (dalam isu) kempen Justice For Zara, dana yang dipungut. Dari segi peraturannya adalah mematuhi syarat-syarat dan telah mendapat persetujuan dan juga mendapat kelulusan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah, dan nama Marhamah tidak ada dalam akaun yang mengutip dana tersebut, dana itu juga diaudit.
"Saya tidak lihat isu-isu itu akan berlarutan, cuma ada beberapa pihak yang menyerang beliau dalam media sosial. Jadi penjelasan yang beliau telah berikan itu saya rasa sudah memadai," ujarnya lagi.





