Isu 40% cukai: Pembangkang Sabah gagal faham penghakiman - Prof Dr Azmi
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Kekeliruan yang timbul berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah berpunca akibat salah faham dan naratif yang tidak tepat, sedangkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tidak pernah menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan culas atau gagal menunaikan tanggungjawab membayar hasil tersebut kepada Sabah.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, isu sebenar tidak pernah berkait dengan kegagalan pembayaran, sebaliknya merujuk kepada ketidakpatuhan kedua-dua kerajaan, negeri dan Persekutuan untuk melakukan semakan kadar pulangan hasil setiap lima tahun sejak 1974 hingga 2022, seperti yang diwajibkan di bawah peraturan fiskal.
"Tempoh hampir lima dekad itu digambarkan oleh mahkamah sebagai “the lost years”, iaitu tempoh semakan yang tidak pernah dilakukan.
"Kerajaan pusat tidak merayu bahagian penghakiman berkaitan pembayaran 40 peratus kerana ia telah pun dibayar secara konsisten sejak 1969, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi ini saya rasa silap faham pihak pembangkang Sabah yang mengatakan “bila nak bayar 40 peratus?”. Sebenarnya dah bayar lama semenjak tahun 1969 sehingga sekarang. Jadi tak ada isu perkara tersebut," kata Dr Azmi kepada Suara Keadilan.
Terdahulu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mempersoalkan pendirian bercanggah Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung hak 40 peratus hasil.
Menurutnya, kenyataan AGC itu menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan persoalan terhadap keikhlasan Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah yang berpihak kepada Sabah.
Susulan itu, Kerajaan Persekutuan pada 11 November memutuskan tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah dan AGC dalam kenyataan memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.
Justeru itu menurut Dr Azmi, rayuan Kerajaan Persekutuan pusat iu bukan mengenai isu pembayaran yang sering dijadikan modal politik pembangkang, sebaliknya mekanisme pembayaran 40 peratus hasil kepada Sabah telah wujud dan berjalan sejak 1969, dan tidak sekali pun dihentikan.
Beliau menambah sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak membayar pulangan hasil tersebut, isu itu sudah pasti menjadi kontroversi sejak dahulu, bukannya hanya timbul setelah keputusan Mahkamah Tinggi Sabah diumumkan.
"Tidak masuk akal untuk pembangkang terus menyoal “bila kerajaan pusat mahu bayar 40 peratus”, kerana pembayaran itu tidak pernah terhenti.
"Apa yang sebenarnya dinyatakan kerajaan dalam rayuan ke Mahkamah Rayuan hanyalah dapatan hakim yang menyatakan kerajaan bertindak secara tidak sah kerana tidak melaksanakan semakan berkala setiap lima tahun," ujarnya lagi.









Comments