top of page

Isu 3R, hina agama: Tindakan tegas, guna SOSMA - Aktivis KEADILAN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan seharusnya tidak terlalu berkompromi terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu 3R (Race, Religion, Royalty) atau terlibat dalam penghinaan agama sehingga menggugat keharmonian negara.


Dalam satu kenyataan, aktivis KEADILAN, Thiban Subbramaniam (gambar) berkata, sebarang insiden yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja perlu dipandang serius kerana Malaysia dibina atas asas hormat, toleransi dan perpaduan dalam masyarakat majmuk.


"Saya memandang serius sebarang insiden yang menyentuh isu 3R termasuk perbuatan menghina atau mencemarkan mana-mana agama. Sebarang tindakan seperti memijak kitab suci, menghina simbol keagamaan atau mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian bukan sahaja mencederakan sensitiviti penganut agama, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat ketenteraman awam," katanya.


Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam isu penghinaan agama atau memainkan sentimen 3R.


Menurutnya lagi, penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan tanpa sebarang unsur pilih kasih.


"Tiada unsur double standard dalam penguatkuasaan undang-undang – tindakan mesti dikenakan secara adil dan konsisten tanpa mengira latar belakang," tegas beliau.

 Thiban Subbramaniam
 Thiban Subbramaniam

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya terdapat elemen ancaman serius terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam.


"Kita tidak boleh membiarkan isu 3R dan penghinaan agama menjadi ‘trend’ yang dinormalisasikan di media sosial sehingga mengundang provokasi dan rusuhan," katanya lagi.


Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai agar bertenang dan tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan mengikut lunas perundangan negara.


"Perpaduan adalah kekuatan kita. Hormati agama orang lain sebagaimana kita mahu agama kita dihormati. Malaysia mesti kekal aman, stabil dan bersatu," ujar beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page