top of page

Hentikan segera serangan Israel, AS ke atas Iran - PM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 11 hours ago
  • 2 min read
Serangan udara Israel tertumpu ke Tehran dan beberapa bandar Iran lain, terutama ke atas sasaran tentara
Serangan udara Israel tertumpu ke Tehran dan beberapa bandar Iran lain, terutama ke atas sasaran tentara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini di Asia Barat susulan serangan Israel ke atas Iran beberapa jam lalu serta tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang mengiringinya.


Dalam satu kenyataan media, beliau menegaskan bahawa situasi tersebut berpotensi membawa rantau berkenaan ke ambang bencana sekiranya tidak ditangani dengan segera melalui pendekatan diplomatik.


"Serangan Israel ke atas Iran, serta tindakan ketenteraan Amerika Syarikat yang mengiringinya membawa Asia Barat ke ambang bencana," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, tindakan Israel memulakan serangan itu disifatkan sebagai percubaan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung selain berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dikawal.


"Tindakan Israel memulakan serangan ini merupakan percubaan keji untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan mengheret negara-negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dikawal," katanya.


Sehubungan itu, Perdana Menteri menekankan bahawa penghentian segera dan tanpa syarat terhadap segala bentuk permusuhan adalah amat mustahak bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah.


"Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran agar memilih laluan diplomatik bagi meredakan ketegangan dan bukannya terus meningkatkan eskalasi, serta menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak dengan segera tanpa mengamalkan sikap berat sebelah," katanya lagi.


Dalam masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan di seluruh rantau berkenaan menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.


"Keutamaan saya ketika ini adalah keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan di seluruh rantau tersebut. Saya akan berhubung dengan rakan-rakan serantau mengenai langkah-langkah seterusnya dalam perkara ini," ujar beliau lagi.


Serangan Israel ke atas Iran beberapa jam lalu banyak menyasarkan kepada kedudukan tentera negara itu, terutama ke atas markas Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC). Namun setakat ini belum ada laporan rasmi mengenai kematian atau kecederaan dikeluarkan sercara rasmi oleh pihak berkuasa Iran.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page