Isu 3R: Hal sensitif, tidak wajar dimainkan gugat keharmonian
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Pravin Murali menyeru semua pihak di negara ini agar terus memperkukuh semangat perpaduan dan berganding bahu menolak sebarang cubaan yang boleh menimbulkan kebencian serta memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
Katanya, beliau yakin bahawa rakyat Malaysia secara keseluruhannya adalah masyarakat yang matang dan bijak dalam menilai sesuatu perkara.
"Saya ingin menegaskan bahawa isu melibatkan 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja adalah perkara yang sangat sensitif dan tidak seharusnya dipermainkan oleh mana-mana pihak.

"Negara kita dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan kefahaman antara masyarakat yang berbilang kaum, agama dan latar belakang.
"Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang telah membolehkan kita hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan kebelakangan ini adalah isu-isu sensitif disebarkan tanpa rasa tanggungjawab, sama ada melalui media sosial atau platform lain sehingga menimbulkan suasana yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat.
"Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak menggunakan sentimen agama atau kaum sebagai alat untuk mencetuskan provokasi atau ketegangan antara rakyat.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita harus sentiasa mengingatkan diri bahawa walaupun kita datang daripada latar belakang yang berbeza hakikatnya kita semua adalah satu keluarga besar yang berkongsi tanah air yang sama.
"Perpaduan, toleransi dan saling menghormati adalah nilai yang perlu terus kita pertahankan demi memastikan keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara.
"Semua pihak perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap kenyataan dan tindakan khususnya apabila melibatkan perkara yang sensitif," katanya lagi.
Pravin yang juga Ketua KEADILAN Cabang Subang turut menyeru pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba memainkan isu 3R.
Tegas beliau lagi, tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan perbuatan seperti itu tidak berulang dan dijadikan peringatan kepada semua pihak bahawa negara ini dibina atas dasar kedaulatan undang-undang.
Katanya, tiada siapa yang boleh mengambil kesempatan untuk menggugat keharmonian negara atau memecahbelahkan masyarakat tanpa berdepan dengan tindakan sewajarnya.




Comments