Suatu fenomena yang istimewa di Johor - kubu kebal Umno sejak 60 tahun lalu - adalah gaya pentadbiran BN yang mengabaikan rakyat di mana sahaja parti itu kuat dan tidak dicabar.
Salah satu DUN yang berstatus 'kubu kebal' adalah DUN Johor Lama.
Menurut calon KEADILAN DUN Johor Lama, Omar Mokhtar A Manap, oleh kerana berstatus kebal maka kawasan tersebut telah diabaikan oleh Umno sejak merdeka biar pun pernah menjadi pusat pentadbiran negeri Johor suatu ketika dahulu.
"Kita nak menang di Johor Lama. Apa pentingnya Johor Lama? Mana mana tempat yang Umno kuat maka tempat itu akan diabaikan.
"Johor Lama penuh dengan sejarah dan budaya. Inilah pusat pentadbiran Johor satu ketika dahulu tetapi dipandang enteng. Berapa banyak kawasan susah di Johor Lama?
"Saya masuk semua. Saya pergi kampung Makam, Felda Sg Sembilang dan lain lain lihat sendiri kesusahan rakyat. Antara yang sering ditanya saya, kenapa PRN kena buat sekarang?
"Sekarang makcik berniaga susah. Kalau jual mahal orang tak nak beli, jual murah untung kecil. Itu antara aduan yang disampaikan," katanya.
Beliau juga memberi contoh di sebuah kampung yang dikunjunginya, gelanggang futsal tidak dibina, malah gelanggang takraw untuk anak muda pun orang kampung terpaksa mengumpul wang memasang lampu bagi membolehkan aktiviti sukan pada waktu malam.
Oleh itu, Omar menyeru anak muda agar memberi undi kepada KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri Johor, 12 Mac ini.
Katanya, Undi 18 pun dibuat pada PRN kali ini pun atas usaha Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani memorandum kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Jika hal itu tidak berlaku, maka keputusan Mahkamah Tinggi di Sarawak pasti akan dirayu bagi menangguhkan Undi 18 sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke 15.
"Kita nak beritahu kawan kawan Undi 18 asalnya kerajaan nak buat pada September 2020. Hanya kerana PH letak syarat MoU pastikan undi 18 dilaksanakan pada Januari 2022 barulah jadi kenyataan.
"Pimpinan Umno tak kisah pun anda (anak muda 18 tahun). Tahap untuk diangkat sebagai pimpinan mereka pandang enteng," katanya.
Omar turut membidas kerajaan Melayu Islam BN - PN yang hanya memainkan satu isu, kalau PH dibenar jadi kerajaan maka DAP akan kuasai orang Melayu.
Sedangkan katanya, ekonomi Melayu tidak terbela. Malah cabutan judi yang telah diturunkan oleh Menteri Kewangan DAP daripada 22 kali sebulan kepada 8, dipulihkan kembali kepada 22 kali cabutan.
"(Eloklah) mak cik pakcik fikir hujung bulan nak bayar rumah, kereta tak cukup duit (daripada isu Melayu). Fikir macam mana anak nak bagi kat mak bapa tak cukup duit. Tak sedihkah anak anak nak tanggung diri sendiri pun tak cukup, nak beri ibu bapa apatah lagi.
"Tiba tiba dibentangkan retorik bodoh Melayu Islam, begitu sahaja kita telan bulat bulat. Sedangkan banyak lagi isu yang perlu diberi pertimbangan," katanya.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Mersing itu juga membangkitkan isu rumah generasi kedua Felda yang menjadi isu setiap kali pilihan raya.
Katanya, beliau telah pergi bertemu semua pengurus Felda di Johor Lama dan ternyata isu utama adalah ketiadaan bajet untuk membina rumah generasi kedua.
"Saya pergi ke setiap Felda, saya jumpa semua pengurus Felda. Saya tanya apa masalah? Masalahnya lot dah ada, duit nak buat tak ada.
"Duit tak ada tetapi beri pinjaman kepada syarikat judi RM2.5 bilion di Hong Kong boleh pula? Nak tolong orang Felda nak rumah sendiri macam macam alasan.
"Begitu juga masalah air di Felda Lok Heng, kemudian isu banjir di Kampung Mawai. Dia buat tebatan banjir, buat separuh. Akhirnya kalau hujan 3 - 4 jam terus banjir. Termasuk kos sara hidup dan peluang pekerjaan semua ini akan ditangani (kalau KEADILAN diberi mandat," katanya lagi.
Comments