top of page

Istilah 'melalak' peringatan tegas individu tuduh kerajaan gagal bertindak - Kamil

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia memandang serius polemik yang diperbesarkan berhubung penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di media sosial berkaitan isu penghinaan terhadap al-Quran.


Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) menegaskan kenyataan tersebut bukan serangan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya merupakan satu peringatan agar tidak membuat tuduhan melulu.


"AMK menegaskan bahawa istilah tersebut mesti difahami dalam konteks sebenar dan tidak dipetik secara terpisah bagi membentuk persepsi yang mengelirukan.


"Ia merujuk kepada sikap segelintir pihak yang tergesa-gesa menuduh kerajaan kononnya gagal bertindak, sedangkan proses siasatan dan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.


"Kenyataan Perdana Menteri bukanlah serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok, sebaliknya, ia merupakan peringatan tegas bahawa tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik hanya akan mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Hakikatnya, Kamil berkata, individu yang terlibat dalam perbuatan menghina al-Quran telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.


Tegasnya, fakta tersebut jelas membuktikan kerajaan tidak berdiam diri, sebaliknya bertindak berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.


"Malaysia adalah sebuah negara hukum dan setiap tindakan mesti berpaksikan peruntukan undang-undang, bukan tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis.


"Dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, tindakan yang tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih besar.


"Ketegasan mesti disertai kebijaksanaan, dan keadilan mesti ditegakkan melalui proses yang telus serta profesional," ujarnya lagi.


Pada 28 Februari lalu, Anwar yang juga Presiden KEADILAN mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan masyarakat kononnya tiada tindakan diambil terhadap pelaku perbuatan memijak al-Quran.


"'Melalak tiada tindakan' tidak menjadikannya benar. Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi di ruangan komen," ujarnya di media sosial.


Kenyataan tersebut sekali gus memperlihatkan ketegangan berterusan antara blok kerajaan dan pembangkang dalam isu berkenaan.


Dalam kenyataan sama, AMK berkata pihaknya menolak sebarang naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak.


Muhammad Kamil menegaskan, kenyataan Perdana Menteri harus dilihat sebagai teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh, bukannya usaha meremehkan kebimbangan rakyat.


"AMK menyeru semua pihak agar menghentikan manipulasi isu ini demi kepentingan politik sempit.


"Ruang sewajarnya perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan tanpa tekanan atau campur tangan yang boleh mengganggu proses keadilan.


"AMK akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keamanan, keharmonian dan maruah negara sentiasa terpelihara," katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page