Tohmahan tertuju kepada Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek sejak semalam kononnya beliau melarang menyebut kalimah 'kafir' telah dipetik secara salah dan video ucapannya ditularkan dalam konteks yang sama sekali bertentangan dengan maksud sebenar.
Menurut Fadhlina, video beliau dalam satu acara tertutup telah disunting dengan cara yang provokasi bertujuan untuk memburuk burukkan imejnya.
"Telah tersebar satu poster memaparkan gambar saya dengan "caption" yang dipetik di luar konteks. Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah "kafir" di rumah.
"Keratan video ini diambil dan dimuatnaik di media sosial daripada suatu pertemuan tertutup dengan kumpulan tertentu. Kemudiannya keratan video ini diambil oleh kelompok lain dan ditularkan dengan tafsiran terseleweng dan di luar konteks.
"Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, antaranya seperti telahan bahawa hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tegas Menteri Pendidikan tersebut, beliau dalam pertemuan tertutup sebelumnya hanya menyanggah kalimah kafir yang sengaja ditujukan untuk melukakan hati penganut agama lain sehingga sentimen tersebut menular kepada anak-anak di sekolah, hasil interaksi dengan orang lebih dewasa yang menyebarkan sentimen berkenaan secara melampau (ghuluw).
"(Dalam pertemuan itu) saya nyatakan dengan maksud jelas, bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah "kafir" yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta ini," katanya.
Menurut Fadhlina, isu sebutan "kafir" atau "non-Muslim" bukanlah tindakan beliau melarang penggunaan perkataan yang telah termaktub dalam al-Quran sebagaimana ditohmah, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, istilah kafir tidak boleh digunakan untuk tujuan mencemuh dalam masyarakat berbilang kaum manakala panggilan non muslim pula, katanya, merupakan suatu pemilihan istilah sederhana yang dikira bersesuaian dalam pendekatan dakwah secara tidak langsung.
"Ia adalah suatu isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian. Malah, Almarhum Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan juga Shaykh Prof Dr Ibrahim al-Hudhud (mantan rektor Universiti Al-Azhar) mengakui panggilan "ghayru Muslim" (non-Muslim) untuk (boleh) digunakan termasuklah dalam penggunaan panggilan sosial.
"Hakikatnya, langsung tidak timbul isu (saya) menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu.
"Pastinya saya sayangkan agama dan prinsip-prinsip Islam yang merupakan pegangan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.
"Tidak timbul isu saya terseleweng daripada agama, justeru tuduhan jahat, melampau, dan bersifat menghina, serta takfiri tidak terlepas daripada radar pemerhatian untuk tindakan lanjut di sisi lunas undang-undang kerana ia jelas melanggar prinsip akhlak dan karamah insaniah," ujarnya.
Manakala dalam konteks Malaysia yang pelbagai bangsa, tambah Fadhlina, sebagai 'Dar al-Da'wah' kepada warga bukan Islam, mereka disebut sebagai "muwatinun" (warganegara) sebagaimana disinggung oleh Dr Fahmi Huwaidi dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’.
"Untuk berlaku adil, pastinya saya punya kecintaan yang tinggi kepada kaum Muslimin, namun terus berpegang kepada prinsip keadilan dalam ta'amul sesama insan sesuai dengan prinsip "li ta'arafu".
"Saya sendiri tidak pernah berhasrat untuk mengomentari isu tersebut. (Sedangkan) keratan video yang tular telah diambil di luar konsensus dan juga diselewengkan konteksnya. Malah, sesiapa yang mendengar ucapan dalam video tersebut dapat menilai konteks sebenar yang saya hasratkan.
"Ternyata, ia adalah suatu percubaan jahat yang ingin mencalar imej dan kredibiliti saya, seterusnya berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkait "3R" dengan melakukan pemesongan makna sehingga menyebabkan saya ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah, malah diancam keselamatan," katanya lagi.
Sehubungan itu, kata Fadhlina, beliau yang mengikuti nasihat rakan rakan telah membuat laporan polis di atas faktor keselamatan.
Malah, katanya, kumpulan peguam menyarankan agar tindakan undang-undang dan sivil dikenakan kepada mereka yang terlibat. Pihak peguam sedang dalam proses mengumpulkan bukti-bukti menerusi media sosial termasuklah dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium.
Dalam masa sama, Fadhlina turut memohon maaf sekiranya telah mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf berhubung isu istilah kafir berkenaan. Biar pun beliau tidak akan berkompromi ke atas fitnah jahat yang dilemparkan ke atasnya.
Comments