Kerajaan pergiat usaha bawa baki kru kapal terkandas di Dubai - PM
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Usaha membawa pulang baki kru Kapal Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan terus dipergiat, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu perkongsian di laman Facebooknya semalam berkata, usaha tersebut bakal dilaksana menerusi kerjasama antara Kementerian Luar (Wisma Putra), Kedutaan Malaysia di UAE dan agensi berkaitan.
"Kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia, walau di mana jua mereka berada, kekal menjadi amanah serta keutamaan Kerajaana Madani," katanya.
Terdahulu, Anwar bertemu Muhammad Kamal Idhamuddin Kamal Arifin, rakyat Malaysia yang sebelum ini dilapor terkandas di pelabuhan berkenaan bersama kru Kapal Berkat Tuah sejak tujuh bulan lalu.
Gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran serta serangan balas Tehran terhadap pangkalan tentera AS di seluruh rantau itu telah memaksa sebahagian besar ruang udara di Asia Barat ditutup sekali gus memberi kesan kepada penerbangan di seluruh dunia.
Pada 5 Mac lalu, sekumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai selamat tiba ke tanah air dengan penerbangan Emirates EK342.
"Alhamdulillah, dengan ikhtiar berterusan... beliau bersama rakan-rakan akhirnya dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
"Usaha kini dipergiat bagi memastikan baki anak kapal yang masih terkandas dapat segera dibawa pulang,” kata Perdana Menteri.




Comments