Istana tentukan sokongan calon PM melalui surat Ahli Parlimen kepada Agong


Pihak yang mendakwa telah mempunyai majoriti dan calon Perdana Menteri (PM) disokong oleh 115 Ahli Parlimen tidak boleh berasa terlalu yakin.


Hal ini kerana pihak Istana Negara telah menyediakan satu mekanisme semak dan imbang bagi mengelakkan berlakunya lantikan PM sebagaimana pada 1 Mac 2020 lalu, berdasarkan sokongan ketua-ketua parti semata-mata.


Mekanisme tersebut berupa surat akuan sokongan pencalonan PM yang perlu dihantar oleh setiap Ahli Parlimen ke pihak istana sebelum pukul 4.00 petang, hari ini.


Sekiranya Ahli Parlimen menyokong seseorang calon kerana dipengaruhi oleh arahan pemimpin parti maka jumlah akuan sokongan ke atas calon PM berkenaan mungkin akan berbeza dengan undian yang diterima oleh pihak istana.


Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh kaedah menguji sokongan terbaharu ini dilihat amat matang dalam menentu sahkan sokongan yang diterima oleh calon PM benar-benar daripada Ahli Parlimen sebagaimana kehendak Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (2)(a).


"Dari segi kaedah ini memang satu kaedah yang dibuat istana. Kalau dulu (Agong) bertanya kepada ketua-ketua parti tetapi sekarang Baginda juga nak tahu daripada setiap Ahli Parlimen.


"Kita dimaklumkan kita hanya boleh pilih satu nama sahaja calon untuk PM ke 9. Kemudian kita hantar kepada istana. Jadi ada juga yang mempersoalkan apakah ketulenan atau ketelusan dari segi maklumat yang telah diberikan tersebut?


"Saya difahamkan kita kena hantar kepada istana dalam beberapa kaedah; Faks, Emel, WhatsApp pun boleh. Maksudnya perkara ini kita sendiri kena ambil sikap supaya pilihan itu benar dan sahih. Kemudian di pihak istana, mereka kena beri tanda terima. Tanda terima itu supaya kita ada pengesahan terima.


"Setelah itu saya difahamkan pihak istana akan membuat semakan tambahan yang saya rasa (Agong) akan membuat perbandingan kalau misalnya, katalah berlaku seorang Ahli Parlimen hantar nama dua kali, mesti ada cara supaya disemak tidak berlaku bertindan undi (kepada calon PM).


"Hal ini kita serahkan kepada pihak istana. Tentulah pihak istana akan berhati-hati dan mempunyai kaedah untuk selesaikan perkara ini," katanya kepada Suara Keadilan.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu lagi, untuk menjadi lebih telus dan respons kepada tuntutan rakyat mungkin selepas ini hasil sokongan berkenaan boleh diumumkan oleh pihak istana untuk diketahui siapakah yang dipilih Ahli-ahli Parlimen dan berapakah sokongan yang diperolehi mereka.


"Ada kalangan NGO, dan saya juga mencadangkan supaya (proses ini) lebih telus, keputusan tentang pengundian diumumkan kepada khalayak, ini terserah.


"Tetapi itu antara perkara yang mungkin juga boleh menyebabkan kita lebih yakin kepada keputusan yang dibuat


"Namun saya rasa kita kena yakin kepada sistem atau kaedah ini. Di peringkat Ahli Parlimen pula kita kena amanah dan jujur untuk tidak mengelirukan atau menghantar dua kali (surat sokongan) atau pun cara-cara yang lain," katanya.


Mengenai satu lagi cara yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan, iaitu memanggil Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada Jumaat ini, Syed Ibtahim melihat perkara tersebut positif dan boleh membantu Agong dalam membuat keputusan tepat jika tiada calon PM yang memperolehi majoriti atau isu-isu lain yang berbangkit.


"Kita balik kepada Perlembagaan. Namun saya rasa memang dalam kaedah ini Yang di-Pertuan Agong membuat majlis syura Baginda supaya ada rujukan


"Tetapi kita jika dilihat Perlembagaan Perkara 43 (2)(a) jelas bahawa Agong yang mempunyai kuasa pada hemat Baginda sekiranya ada seorang yang mendapat kepercayaan majoriti, maka itulah yang akan dipilih. Kuasa itu ada pada Yang di-Pertuan Agong. Tidak disebut Majlis Raja-raja


"Saya rasa kerana Agong sendiri rasa Baginda nak maklumkan (kepada Majlis Raja-raja), maka diadakan proses supaya perkara itu dalam pengetahuan Majlis Raja-raja," katanya lagi.


Untuk rekod, Perikatan Nasional telah pun mengumumkan mereka memperolehi majoriti berdasarkan sokongan ketua-ketua parti dan mengangkat nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob calon sebagai Perdana Menteri baharu.


Bagaimanapun, dengan kaedah terkini menentukan sokongan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Speaker Dewan Rakyat, maka tahap sokongan ke atas Ismail akan diperiksa melalui sokongan individu Ahli Parlimen pula.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER