Istana politik Pas-Bersatu mula runtuh - Lokman Adam
- Suara Keadilan

- Sep 23
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerjasama politik antara Pas dan Bersatu disifatkan sebagai sebuah “istana dibina di udara” yang kini mula runtuh di depan mata rakyat, demikian menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar).
Beliau berkata, hubungan kedua-dua parti itu sebelum ini digambarkan sebagai sebuah ikatan kukuh atas nama prinsip dan solidariti namun perkembangan mutakhir membuktikan ianya sekadar “perkahwinan atas dasar kepentingan politik”.
"Segala-galanya mula retak apabila Marzuki Mohamad (bekas Ketua Setiausaha Politik Tan Sri Muhyiddin Yasin) mendakwa Pas menerima wang daripada Bersatu.
"Tuduhan ini bukan kecil, ia menyentuh soal integriti dan ketelusan.
"Namun Pas tidak menjawab dengan jelas, sebaliknya membalas dengan persoalan mengenai berapa banyak kes rasuah yang melibatkan Bersatu," katanya dalam satu kenyataan.
Lokman yang juga Ketua Sekretariat Media Perpaduan berkata, tindakan berbalas tuduhan itu telah menghancurkan imej gabungan berkenaan kerana ia menunjukkan kedua-dua parti saling membongkar kelemahan masing-masing.
Menurut beliau, rakyat kini berhak bertanya sama ada kerjasama Pas-Bersatu benar-benar berlandaskan prinsip perjuangan atau sekadar kerana adanya aliran kewangan yang tidak didedahkan.
"Rakyat sudah muak melihat pemimpin yang lantang bercakap soal integriti dan moral tetapi dalam masa sama terjebak dengan politik wang dan hipokrasi.
"Istana udara ini akhirnya runtuh dan barangkali keruntuhan itu sudah lama ditunggu," tegasnya.
Tuduh menuduh antara Bersatu dan Pas berlaku sebaik sahaja usai Muktamar Pas ke 71 di Kedah minggu lalu. Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghentam parti komponen PN yang ingin terus mengetuai gabungan itu walaupun semasa pilihanraya gerak kerja kempen mereka dibantu oleh Pas.
Manakala bekas Ketua Setiausaha Politik Tan Sri Muhyiddin Yasin kemudian mendakwa bahawa parti berkenaan telah banyak membantu kewangan Pas ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum 2022.









Comments