Israel perlu dihukum pintas misi kemanusiaan, henti genosid di Gaza - Nurul Izzah
- Suara Keadilan

- Oct 10
- 2 min read

Berita sembilan sukarelawan Malaysia menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) X Thousand Miles to Gaza (TMTG), ditawan oleh tentera Israel dan akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam meskipun melegakan, namun hal itu tidak memadamkan jenayah biadap ke atas misi kemanusiaan yang dilakukan rejim zionis.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, tindakan memintas dan menahan kapal-kapal bantuan di perairan antarabangsa merupakan “pelanggaran paling teruk terhadap undang-undang maritim antarabangsa”, dan sewajarnya Israel dikenakan tindakan keras di atas siri pencerobohan yang dilakukan.
"Penahanan mereka adalah sebahagian daripada tindakan terbaru dalam kempen sistematik pencerobohan kejam oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, yang merupakan antara pelanggaran yang paling teruk undang-undang maritim," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nurul Izzah kekejaman Israel terus meningkat selepas pemintasan kapal Annie pada Jun lalu dan rampasan ganas ke atas kapal Handala, pada Julai 2025, kedua-duanya membawa aktivis, doktor, wartawan dan bantuan kemanusiaan.
"Jenayah ini memperlihatkan rejim Israel beroperasi dengan sewenang-wenangnya, menentang Mahkamah Antarabangsa, melanggar undang-undang maritim, dan secara kolektif menghukum orang awam," katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan 'lanun' terhadap flotila kemanusiaan sebagai terang terangan mencabul dan menghina undang undang antarabangsa, apatah lagi hal itu berlaku selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan kewujudan elemen pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Gaza.
Kata beliau, misi flotila bukan sekadar penghantaran bantuan tetapi tindakan sah mencabar pengepungan haram yang menyebabkan krisis kebuluran di Gaza — satu sekatan yang telah diperintahkan oleh ICJ untuk ditarik balik.
Mantan Ahli parlimen Permatag Pauh itu juga menegaskan bahawa gencatan senjata terbaharu yang diusahakan oleh Amerika Syarikat terancam apabila Israel terus mengebom Gaza dan terbaharu lebih 50 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan kejam semalam.
"Laporan mengesahkan bahawa lebih 50 rakyat Palestin terbunuh dalam kejadian ini, peringatan yang jelas bahawa gencatan senjata tidak dapat dikekalkan tanpa menamatkan pengepungan dan pendudukan," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap keberanian sukarelawan Malaysia yang baharu dibebaskan seperti Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, dan Prof Dr Afandi Salleh yang berkhidmat di bawah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
"Azam mereka, diselaraskan dengan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), berdiri sebagai bukti keberanian mereka. Kami memuji usaha diplomatik yang menjamin pembebasan mereka.
"Walau bagaimanapun, tumpuan dunia kini mesti beralih daripada penahanan individu kepada jenayah sistemik. Krisis kemanusiaan di Gaza, yang dikekalkan oleh rejim Israel menuntut lebih daripada sekadar bantuan, ia menuntut berakhirnya kepungan," kata Nurul Izzah lagi.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat antarabangsa tidak lagi berdiam diri dan menuntut pertanggungjawaban atas pelanggaran undang-undang antarabangsa, penamatan pengepungan genosid, kebebasan tahanan Palestin termasuk kanak-kanak, dan orang awam Palestin.









Comments