Rejim ganas Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) seharusnya mencontohi politik diplomasi dan harmoni sebagaimana diamalkan Malaysia yang mana pelbagai kaum boleh hidup aman damai.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, AS sebagai kuasa besar yang pernah gemilang namanya ketika menghapuskan sistem penghambaan lebih 100 tahun lampau tidak perlu tenggelam ke dalam lumpur hak asasi manusia dengan menyokong keganasan berdarah Israel.
"Amerika terkenal dengan penamatkan sistem penghambaan melalui Presiden Abraham Lincoln. Mereka menamatkan sistem penghambaan di negara mereka dan ditiru negara lain. Tetapi nama baik itu tercemar apabila Presiden Truman menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.
"Sekarang (Joe) Biden, kalau kamu menang (pilihanraya) presiden Amerika atau tidak nama Amerika sudah hancur di atas muka bumi ini kecuali kamu menamatkan perang esok hari.
"Sekarang negara Eropah mencari jalan keluar untuk bersekutu dengan AS. Hanya mereka (AS) sahaja yang tinggal yang sekarang memberi semangat kepada Netanyahu dan Israel untuk membunuh orang awam. Tidakkah malu bila kamu nanti tidak jadi kuasa besar sebab world power sedang berpindah ke timur.
"Bukan lagi barat dan Amerika. Rakyat akan membaca sejarah pada waktu akan datang, di akhir masa kuasa mereka, mereka menyokong pengganas yang membunuh kanak kanak dan wanita.
"Mahukah rakyat Amerika membaca berita itu 50 tahun lagi, iaitu Amerika menyokong pengganas Israel," katanya dalam ceramah grand finale 'Kepung Demi Palestin' di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur malam tadi.
Justeru itu, Mat Sabu mahu kedutaan AS melaporkan kepada ketua kerajaan mereka bahawa rakyat Malaysia menentang tindakan menyokong keganasan berterusan Israel di Gaza.
Katanya, nama baik AS akan kembali harum dan dijulang dunia sekiranya menamatkan segera sokongan ke atas Israel serta membebaskan Palestin.
"Ayuh kedutaan AS di sini laporkan kepada pemimpin kamu, dunia sudah benci kepada kamu melainkan tamat segera segala penderitaan rakyat Palestin. Biar rakyat Palestin balik ke tanah air mereka.
"Biar mereka duduk aman damai antara Arab, Kristian dan Islam bersama Israel. Jadilah seperti Malaysia, berbagai kaum, agama, kami hidup aman tenteram.
"InshaAllah negara Palestin akan merdeka tidak lama lagi. Dari sungai Jordan le laut Mediterranean. River to the sea. Kita harap kejayaan akan dicapai tidak lama lagi," doanya menutup ucapan.
Comments