Oleh: Akmal Manaf
Rejim zionis Israel jangan biadap dan digesa menghormati mandat serta keselamatan pasukan pengaman yang sedang berkhidmat di Lubnan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli Abdul Halim berkata, beliau amat terkejut apabila mengetahui lima rakyat Malaysia daripada Batalion Malaysia 850-12 (Malbatt 850-12) dan seorang dari Malbatt 850-11, yang baharu dikerahkan ke Lubnan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) cedera dalam serangan Israel di Sidon.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim, Malaysia mengutuk keganasan sedemikian dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk meminta mereka yang bertanggungjawab.
"Keselamatan pasukan pengaman mesti dilindungi, dan sebarang ancaman kepada mereka adalah ancaman kepada keamanan itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan serangan itu, Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut menzahirkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku.
"Hati kami bersama dengan keluarga (mangsa) dalam masa yang sukar ini.
"Tindakan melulu ini meletakkan pasukan pengaman dan orang awam dalam bahaya yang serius dan menjejaskan kestabilan di rantau yang sudah tegang," ujarnya sambil menambah Malaysia kekal komited terhadap keamanan.
Semalam, enam anggota MALBATT disahkan mengalami kecederaan berikutan serangan rejim terhadap sebuah kenderaan berhampirkan sebuah bas mengangkut anggota MALBATT berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.
Dalam insiden berkenaan, seorang anggota yang cedera di tangan, menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida, manakala lima lagi anggota yang cedera ringan telah selamat sampai ke Kem Marakah.
Comentarios