Israel hentikan serangan ke atas Iran, jangan berlagak jadi polis dunia
- Suara Keadilan
- Jun 16
- 2 min read

Tindakan Israel menyerang Iran sejak 14 Jun lalu semata mata atas alasan mahu menyekat negara itu daripada membangun senjata nuklear wajar dikutuk kerana melanggar undang undang antarabangsa.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, Iran tidak melanggar undang undang dan berhak menggunakan nuklear untuk tujuan awam kerana negara itu patuh kepada pemeriksaan berkala Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Beliau berkata, Israel tidak sepatutnya menjadi polis dunia di rantau Arab dan menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh negara lain.
"Keangkuhan Israel dalam menganggap ianya berhak menentukan dan menghadkan kemampuan nuklear negara lain, sambil Israel sendiri tidak membenarkan pemeriksaan ke atas fasaliti nuklearnya oleh badan antarabangsa adalah jelas satu keadaan yang tidak boleh diterima.
"Dari sejak penubuhan negara haram Israel, ia telah mewujudkan ketidakstabilan dan membawa kemusnahan ke rantau Timur Tengah. Negara-negara seperti Iraq dan Syria dihancurkan demi Israel oleh sekutu-sekutunya. Gaza sedang dimusnahkan melalui proses genosid yang terang dan nyata. Namun pada masa yang sama Israel mendakwa ianya diancam sedangkan ianya yang mengancam.
"AMANAH menuntut supaya Israel hentikan tindakan liarnya yang tidak bertamadun dan melanggar segala prinsip keadilan dan kemanusiaan yang ditunjukkanya selama ini. Israel perlu belajar cara menjadi sebuah negara yang menganjurkan kedamaian dan membawa kebaikan kepada rantau itu sebelum ianya berhak dihormati," kecam Khalid dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tindakan Iran membalas dengan melancarkan beratus ratus peluru berpandu balistik sejak Jumaat lalu ke atas kota kota besar Israel merupakan hak negara itu untuk membalas dan tidak boleh dianggap keganasan oleh Israel bagi mewajarkan negara itu meneruskan serangan.
"AMANAH berpandangan Iran berhak menyerang balas setelah ianya diserang. AMANAH bangga dengan kemampuan Iran untuk bertindak balas dan menyanjung sikapnya yang sanggup menghentikan serangan terhadap Israel jika Israel menghentikan serangan ke atas Iran.
"Ini menunjukkan sikap cintakan perdamaian walaupun mampu bertindak ganas di luar jangkaan semua pihak termasuk Amerika Syarikat," ujarnya.
Sehubungan itu, Khalid menyeru semua pihak, khususnya Amerika Syarikat, Britain dan Perancis supaya tidak campur tangan dalam perang yang telah dimulakan Israel.
Katanya, sokongan sekutu Barat kepada Israel hanya akan memanjangkan lagi konflik dan membunuh lebih banyak orang Islam di Iran.
Begitu juga negara Arab lain, katanya tidak wajar lagi membantu Israel dengan apa juga cara dan seharusnya menyokong Iran menegakkan hak kedaulatan tanah air mereka.
"AMANAH menyeru negara-negara Arab yang berjiranan dengan Iran dan Israel untuk mengiktiraf hak Iran bertindak balas dan sekiranya kamu tidak mampu menyokong samada Iran ataupun rakyat Gaza, maka jangan sekali-kali menyebelahi dan membantu Israel!
"Seharusnya hubungan diplomatik dan perniagaan ditamatkan segera demi membantah sikap ‘beligerent’ atau ganas yang ditunjukkan Israel.
"Iran menggunakan satu-satunya bahasa yang difahami Israel, iaitu bahasa kekuatan dan ketenteraan. Dengan itu semoga Israel faham, selagi ianya sebuah negara fasis dan apartheid, ianya berada di silap benua. Maka berambuslah ia darinya dan bolehlah ia berpindah ke mana-mana negara yang lebih sesuai dengan kamu," katanya lagi.
Comments