Israel cabul undang undang antarabangsa, paksa peperangan ke atas Iran
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia terus konsisten dan tegas membantah serangan terbaharu yang dilakukan rejim Israel terhadap negara Iran.
Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Malaysia (MAPIM), Azmi Abdul Hamid berkata, hari ini rakyat Malaysia sekali lagi akan bersama-sama menyatakan sokongan terhadap Iran yang mempertahankan kedaulatannya serta terus teguh berdiri menyokong perjuangan bagi pembebasan Palestin.
''Mereka (Israel) mahu menghancur dan melanggar semua Undang-Undang Antarabangsa. Kita lihat sekarang ini peperangan yang dipaksa ke atas Iran telah pun berlaku.
''Sedangkan Iran mempunyai satu sahaja matlamat iaitu mahu pendamaian dicapai dan menghentikan apa yang telah dilakukan Israel terhadap Palestin.
''Tapi Israel memberi alasan menyerang Iran kerana negara itu mempunyai senjata nuklear. Ini adalah satu kepalsuan dan memang sesuatu yang tidak dapat dibuktikan,'' katanya yang mengutuk keras tindakan rejim berkenaan terhadap masyarakat awam yang tidak berdosa.
Beliau ditemui pemberita berhadapan Masjid Tabung Haji di ibu negara sempena Himpunan Tolak Perang yang diadakan selepas solat Jumaat petang ini.
Menurut Azmi lagi, pihaknya bukan sahaja berhimpun untuk menyatakan solidariti, malah akan menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sebagai bantahan terhadap serangan itu.
''Kami akan hantar memorandum ini yang merupakan kali kedua kepada Kedutaan AS sebagai tanda bantahan keras Malaysia terhadap serangan tersebut.
''Saya juga akan menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar menghimpunkan semua parti politik tanpa mengira ideologi kerana ini adalah perhimpunan besar yang harus dipimpin oleh beliau sendiri bagi menyampaikan mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak boleh menerima tindakan Israel yang cuba memaksa Iran ke medan perang.
''Ini bukan sahaja serangan kepada Iran dan Gaza, tetapi serangan kepada kedaulatan dunia,'' katanya lagi.
Comments