Islamofobia: Mengapa PH disalahkan, Onn Hafiz pun tolak Pas?
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 2 min read

Kenyataan mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) memainkan naratif 'Islamofobia' konon cuba menakut nakutkan pengundi mengenai tindakan Pas yang memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos, dakwaan bahawa PH memainkan naratif 'Islamofobia' itu tidak berasas kerana arahan Pas agar ahlinya mengundi BN adalah realiti, bukan direkayasa oleh PH.
"Itu adalah kenyataan serta pendirian Pas sendiri, bukannya cerita yang direka oleh PH. Kalau sekadar mengulang fakta pun sudah dianggap 'Islamofobia', maka logik apakah yang sedang digunakan?

"Lebih menarik, hari ini (semalam) Datuk Onn Hafiz Ghazi pula tampil menyatakan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan Pas sekiranya BN memenangi PRN Johor. Di sinilah timbul persoalan yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Eddiarman lagi, jika Khairy mengaitkan BN dengan Pas sebagai sentimen 'Islamofobia", kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz yang secara terbuka menjarakkan diri daripada Pas pula secara tidak langsung dakwanya, memberi gambaran bahawa parti Pas yang memperjuangkan Islam perlu 'ditolak'.
"Jadi, siapa sebenarnya yang sedang membina persepsi negatif terhadap Pas dan membawa sentimen Islamofobia?
"PH yang sekadar menyebut fakta bahawa Pas menyokong BN? Atau pemimpin BN sendiri (Onn Hafiz) yang kini dilihat bersungguh-sungguh menafikan dan menjauhkan diri daripada Pas?
"Jangan salahkan orang lain apabila kenyataan sendiri akhirnya memakan diri," kata beliau lagi.
Terdahulu, Khairy yang juga mantan Ahli Parlimen Rembau, membidas PH yang didakwa menjalankan kempen berbaur ‘Islamofobia’ demi meraih undi pada PRN Johor ke-16.
Khairy menyifatkan tindakan pemimpin dan menteri PH yang memainkan naratif 'undi BN dapat Pas' sebagai taktik kotor untuk menakut-nakutkan pengundi, khususnya menjelang hari pengundian.
Tegas beliau, BN bertanding secara bersendirian pada pilihanraya kali ini tanpa melibatkan sebarang kerjasama dengan parti luar.




Comments