top of page

Islam terus subur, majlis ilmu berkualiti tinggi di Malaysia

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 minutes ago
  • 3 min read
Dr Zulkifli Hassan (berjubah putih) bersama ulama dari Timur Tengah di Majlis Khatam Bacaan Kitab Syamail al-Habib al-Mustofa di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam
Dr Zulkifli Hassan (berjubah putih) bersama ulama dari Timur Tengah di Majlis Khatam Bacaan Kitab Syamail al-Habib al-Mustofa di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam

Perkembangan Islam di Malaysia terus berada pada landasan positif sekali gus menolak dakwaan bahawa agama itu semakin terancam di negara ini, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hassan


Beliau berkata perkembangan majlis ilmu yang berkualiti tinggi termasuk yang menghidupkan tradisi turath serta pendekatan kontemporari menunjukkan Islam terus berkembang subur dalam masyarakat.


"Setulusnya saya melihat bahawa Islam makin subur dan mekar di Malaysia dan kita juga ingin sama-sama berusaha masuk syurga.


"Majlis ilmu berkualiti tinggi dan menghidupkan turath dan tradisi serta kontemporari begitu subur dan mekar di Malaysia," katanya dalam hantaran di media sosial.


Menurut beliau perkembangan itu turut didukung kerjasama erat antara ulama dan umara dalam usaha membina negara serta membentuk masyarakat yang berilmu, berbudi dan berhikmah.


Katanya Malaysia turut mendapat pengiktirafan daripada ulama muktabar di peringkat antarabangsa, termasuk tokoh yang memimpin organisasi Islam dunia, para mufti dan Syeikhul Azhar.


"Ulama muktabar dan diakui kehebatan keilmuannya peringkat dunia, ulama memimpin organisasi Islam di dunia, para mufti, Syeikhul Azhar dan ramai lagi semuanya menyokong dan mengiktiraf Malaysia.


"Kita perlu berbangga dan meneruskan usaha ini sedayanya," katanya.


Zulkifli berkata usaha memperkukuh kehidupan Islam di Malaysia turut melibatkan alim ulama, tuan guru, asatizah dan masyayikh tempatan yang mempunyai ilmu serta akhlak yang baik.


Beliau berkata perkembangan Islam seharusnya diteruskan dengan pendekatan yang menekankan kebaikan, kasih sayang, saling menghormati, ilmu, akhlak dan adab, bukannya kebencian atau hasutan.


"Langsung tiada unsur kebencian dan hasutan atau tujuan tersirat yang lain. Hanya kebaikan, kasih sayang, hormat menghormati, ilmu, akhlak dan adab yang disebarkan," katanya.


Dalam pada itu, beliau secara peribadi menyaksikan suasana dan kemeriahan majlis ilmu di Malaysia kini memasuki fasa serta tahap baharu khususnya dengan kehadiran dan bimbingan ulama dari seluruh dunia selain tokoh agama tempatan.


"Era inilah saya menyaksikan dan merasakan suasana dan kemeriahan majlis ilmu fasa dan tahap baharu di Malaysia dengan kehadiran dan bimbingan ulama-ulama yang hebat dari seluruh dunia dan juga tempatan," katanya.


Beliau turut mendoakan agar Malaysia terus mendapat keberkatan dan rahmat Allah SWT serta berkembang sebagai negara yang maju, makmur dan sejahtera.


"Doakan Malaysia diberkati dan dirahmati serta terus maju, makmur dan sejahtera.


"Kita terus fokus sebarkan salam, sebarkan kebaikan, sebarkan kasih sayang," katanya.


Terdahulu, Malaysia sekali lagi menganjurkan Majlis Khatam Bacaan Kitab Syamail al-Habib al-Mustofa di Masjid Negara semalam.


"Alhamdulillah, suasana penuh meriah dengan ribuan hadirin memenuhi ruang Masjid Negara menghadiri Majlis Bacaan Kitab Syamail al-Habib al-Mustofa Sallahu ‘alaihi wa Sallam.


"Sekalung penghargaan diucapkan kepada Al-Allamah al-Sheikh al-Musnid Mohammad Abdul Huda Yaqoubi yang membimbing bacaan dan mengijazahkan semua hadirin yang mengikuti majlis bacaan kitab beliau ini," kata Zulkifli.


Turut hadir Syeikh Abdul Aziz Al-Syihawi al-Syafiiyah dan Syeikh Issam al-Subbuei serta para asatizah lain.


Sementara itu, Festival Turath Islami Malaysia 2026 dijadual berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya dari 13 hingga 20 September ini.


Bertemakan “Hikmah Warisan Islam”, FTIM 2026 menghimpunkan 27 ulama antarabangsa dan tempatan dalam 45 sesi pengajian serta 12 acara sepanjang lapan hari.


Antara pengisian utama ialah pengajian kitab tasawuf Al-Hikam karya Ibnu Atha’illah melalui kaedah talaqqi bersama para ulama sebagai usaha menghidupkan dan memperkukuh tradisi keilmuan Islam.


Ia dijadual turut disertai Bekas Mufti Besar Mesir, Sheikh Dr Ali Jum'ah dan Timbalan Rektor Universiti Al-Qawarawiyyin, Sheikh Prof Dr Sayyid Idris Al-Fasi Al-Fihri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page