Islam rahmah, inklusif jadi teras pentadbiran agama - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pendekatan Islam berteraskan nilai rahmah, inklusif dan kemajuan akan menjadi tunjang pentadbiran hal ehwal agama negara, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina masyarakat yang harmoni dan bersatu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, amanah yang digalas beliau bersama timbalannya Senator Marhamah Rosli akan dilaksanakan berpandukan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar tanggungjawab tersebut dipikul dengan penuh keikhlasan demi kepentingan negara.
Menurut beliau peranan agama tidak harus dilihat secara sempit atau eksklusif sebaliknya menjadi elemen penting dalam pembangunan sosial dan kemajuan negara secara menyeluruh.
"Kita ingin menampilkan wajah Islam yang membawa rahmat kepada semua, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Zulkifli berkata pentadbirannya akan mengetengahkan pendekatan Islam yang damai, sederhana, berpaksikan maqasid syariah serta meraikan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk Malaysia.
"Islam yang ingin kita bawa ialah Islam yang rahmah, wasatiyyah (sederhana), inklusif dan maju. Islam yang indah dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli turut menyentuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia dengan rekod pengiktirafan antarabangsa yang kukuh.
"Malaysia telah mengiktiraf lebih 92 badan halal dari 47 negara. Ini membuktikan kita berada pada landasan yang tepat, namun usaha berterusan perlu dilakukan agar negara terus kekal sebagai juara industri halal di peringkat global," katanya.
Mengulas pelantikan beliau susulan rombakan Kabinet, Zulkifli menyifatkan kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu amanah besar yang menuntut kesungguhan, integriti serta kesatuan dalam pelaksanaan dasar hal ehwal agama.
"Perlu ada keharmonian, perpaduan serta kesatuan hati dan minda untuk menjayakan agenda hal ehwal agama negara," katanya.
Terdahulu, Zulkifli dan Marhamah memulakan tugas rasmi di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan mengimbas cap jari pada tengah hari tadi.
Zulkifli menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam.
Beliau antara tujuh menteri dengan dua daripadanya lantikan baharu serta lapan timbalan menteri termasuk Marhamah, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara susulan rombakan Kabinet.
Sementara itu, Marhamah yang berasal dari Sabah menyatakan komitmennya untuk memanfaatkan pengalaman dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan bagi memperkukuh institusi agama serta memperkasakan peranan wanita Islam di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau berkata fokusnya adalah untuk “merakyatkan agama”, agar Islam tidak dilihat sebagai sesuatu yang menghukum, sebaliknya dekat dengan realiti kehidupan rakyat.
"Saya mahu masyarakat merasakan agama itu sebati dalam kehidupan seharian, termasuk ketika berdepan ujian dan cabaran emosi," katanya selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara.
Marhamah turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan dan memberi jaminan akan melaksanakan amanah tersebut dengan sepenuh komitmen.
"Saya berharap diberikan ruang dan sokongan agar dapat berkhidmat kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara sebaik mungkin," katanya.









Comments