top of page

Isi jawatan Menteri: Beberapa nama boleh dipertimbang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read
ree

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Isu mengisi kekosongan jawatan Kabinet Kerajaan Perpaduan telah menimbulkan pelbagai pertanyaan dan perbincangan dalam kalangan pemerhati politik di negara ini sejak beberapa minggu lalu.


Pelbagai pandangan telah kita dengar dan antara beberapa nama tokoh yang disebut sebut ialah Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang kini merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya serta Nurul Izzah Anwar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)


Bagi Ahmad Maslan, beliau merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman luas dan pernah memegang beberapa portfolio penting dalam kerajaan. Selain daripada memegang jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu dari 2009 sampai 2013.


Kemudian Ahmad Maslan pernah jadi Timbalan Menteri Kewangan (dua kali): Pertama sebagai Timbalan Menteri Kewangan II (2013–2015) dan kemudian dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan I pada Disember 2022.


Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) antara 2015 hingga 2018. Pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Dan beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Seranta Felda di bawah Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2005 sehingga 2008.


Manakala dari segi pengurusan parti pula, beliau pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung BN. Sekarang ini beliau merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Johor dan juga disebut sebagai Ketua Sekretariat War Room UMNO pusat. “War Room” di sini bermaksud kepada struktur parti untuk persiapan politik serta kempen dan mengatur strategi dalam konteks parti UMNO.


Kukuhkan kerjasama KEADILAN dan UMNO


Sebagaimana yang kita ketahui, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini bergantung kepada keseimbangan antara KEADILAN, UMNO-BN, GPS dan GRS serta beberapa lagi parti parti kecil. Dengan melantik pemimpin UMNO seperti Ahmad Maslan pastinya boleh mengukuhkan kerjasama KEADILAN dan UMNO serta menguatkan lagi jentera kerajaan.

Ahmad Maslan bersama Shahbudin
Ahmad Maslan bersama Shahbudin

Selain itu, beliau terkenal dengan “loyalty factor” yang terdapat dalam dirinya. Beliau tidak pernah terlibat dalam mana mana kenyataan yang mampu melemahkan kerajaan. Secara umumnya, Ahmad Maslan sangat konsisten menyokong pucuk pimpinan kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Bagaimana pula dengan Nurul Izzah Anwar? Jika beliau dilantik sebagai menteri, pastinya persepsi nepotisme hampir tidak dapat dielakkan, walaupun jika dilihat pada pencapaian beliau, sebenarnya Nurul Izzah memang sangat layak dilantik sebagai menteri.


Nurul Izzah diperlukan tingkat sokongan generasi muda


Sayangnya di Malaysia ini, ramai yang lebih percaya pada persepsi dan bukannya kepada fakta. Namun, sekiranya Nurul dipilih berdasarkan pada pengalaman yang beliau miliki, dan ditempatkan di kementerian yang sesuai, apatah lagi melihatkan pada rekodnya yang sentiasa dikenali sebagai seorang bekerja keras dan tidak terlibat dalam sebarang kontroversi serta skandal, maka rakyat boleh menerimanya. Jika dilihat pada perspektif ini, lama kelamaan kritikan nepotisme akan semakin pudar.

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar

Apa yang jelas ialah isu nepotisme pasti akan sentiasa digunakan, namun penilaian akhirnya bergantung pada prestasi yang ditunjukkan. Perlu diingatkan sekiranya, kelayakan beliau dinafikan hanya kerana beliau mempunyai hubungan dengan seorang Perdana Menteri maka ini bukannya sesuatu yang adil untuk Nurul, bahkan boleh dianggap sebagai prejudis.


Nurul Izzah pernah menjadi Ahli Parlimen di dua kawasan iaitu Lembah Pantai dan juga Permatang Pauh. Selain itu, beliau dilihat sebagai imej seorang reformis yang sangat konsisten memperjuang isu integriti serta pelbagai dasar yang melibatkan kepentingan rakyat .


Timbalan Presiden KEADILAN ini juga diterima baik oleh generasi muda dan dilihat sebagai pemimpin yang progresif serta menjadi aspirasi anak-anak muda untuk berjaya dalam politik.


Aktif dalam wacana isu rakyat


Beliau juga sering aktif dalam wacana perbelanjaan rakyat, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan terlibat dalam bengkel dasar, dan konsultasi masyarakat. Semua faktor ini memberikan asas kukuh untuk memegang portfolio berkaitan pembangunan masyarakat, wanita, atau ekonomi rakyat.


Perlu diingatkan bahawa Nurul Izzah pernah menjadi penasihat kanan ekonomi dan sangat profesional dalam menjalankan tugas serta amanah yang diberikan kepada beliau. Beliau juga lebih dilihat sebagai seorang pemimpin yang moderat, policy driven dan menampilkan imej yang progresif serta tidak kontroversi.


Segala pengalaman yang beliau miliki ini menunjukkan yang beliau sudah bersedia memikul cabaran dan tanggungjawab yang bakal diberikan sekiranya beliau dilantik sebagai menteri.


Apapun, keputusan akhir terletak pada kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memilih para pemimpin yang paling layak untuk terus memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang bakal diberikan nanti.


Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan bukannya pendiriann rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page