top of page

Iran beri laluan kapal minyak negara lepasi Selat Hormuz, M'sia ucap terima kasih

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 8 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar mengucapkan terima kasih kerana membenarkan kapal minyak Malaysia melepasi Selat Hormuz
DS Anwar mengucapkan terima kasih kerana membenarkan kapal minyak Malaysia melepasi Selat Hormuz

Di sebalik ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Iran kerana memberi laluan selamat kepada kapal minyak negara ini sekali gus menjamin keselamatan rakyat tempatan yang terlibat.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan konflik melibatkan Iran dan Israel kini semakin meruncing serta berpotensi mencetuskan ketegangan lebih luas di rantau itu.


"Saya ucap terima kasih kepada Presiden Iran kerana awal memberi laluan dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan mereka pulang," kata beliau dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung semalam.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan pada masa ini terpaksa menangani kesan daripada sekatan di Selat Hormuz, selain peperangan dan bekalan gas serta minyak terhenti.


"Semuanya ada kesan kepada kita walaupun...kita dalam keadaan jauh lebih baik kerana keupayaan Petronas selama ini," ujarnya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan beliau meneruskan usaha perundingan diplomatik dengan menghubungi ketua-ketua negara seperti Presiden Iran, Presiden Mesir dan Presiden Turkiye serta negara-negara Teluk.


Beliau turut memaklumkan telah beberapa kali berhubung dengan Perdana Menteri Shehbaz Sharif bagi mendapatkan pandangan mengenai usaha perdamaian.


"Tidak mudah kerana Iran berpandangan mereka tertipu berulang kali dan sukar menerima langkah-langkah ke arah perdamaian tanpa suatu yang boleh mengikat perjanjian dan jaminan keselamatan," katanya.


Kata beliau, kerajaan memantau secara dekat konflik tersebut dengan menegaskan pendirian dengan keras menentang kezaliman dan penindasan serta pencerobohan yang dilakukan Amerika Syarikat dan Israel.


"Masalahnya lebih meruncing kerana tindak balas dari Iran itu bukan sahaja terkena kepada Israel tetapi tempiasnya ke negara-negara Teluk yang menimbulkan konflik dan ketegangan baharu," katanya.


Walaupun begitu, beliau bersyukur Malaysia masih berada dalam keadaan aman dan stabil.


"Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dalam keadaan aman, damai tetapi tentunya tidak terlepas daripada tempiasan ini," ujarnya.


Dalam pada itu, kata Anwar konflik berkenaan turut memberi kesan besar kepada negara lain di rantau tersebut.


"Tempiasnya juga berlarutan ke Lubnan, sudah lebih sejuta yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda," katanya merujuk situasi di Lubnan akibat serangan Israel.


Beliau turut mengingatkan krisis di Gaza masih belum selesai.


"Jangan lupa, pokok pangkal masalah Palestin dan Gaza belum terurus, malah bencana itu menyebabkan mereka lebih sengsara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page