Iran berani pertahan kedaulatan, musnahkan kota Israel
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa yang menjunjung prinsip keadilan, memandang tinggi keberanian serta kebijaksanaan Republik Islam Iran dalam memberikan respons yang tenang, berhemah dan bermaruah terhadap tindakan ketenteraan yang tidak berasas dan pengecut oleh rejim Israel.
Beliau berkata, sehingga ke hari ini, tiada negara lain yang berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa Israel bukan makhluk yang tidak boleh dikalahkan.
Katanya, musuh dan sekutu Israel sama-sama terdiam menyaksikan keberanian, ketepatan dan maruah Iran yang tegas berdiri dan menyatakan bahawa penindasan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) mesti dihentikan.
''Jika seluruh dunia mengagumi kecekalan Iran dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negaranya, maka rakyat Iran sendiri harus berdiri teguh menyokong kerajaan mereka tanpa goyah.
''Keberanian Iran turut memalukan negara-negara jiran Palestin yang jauh lebih kaya dan maju, tetapi kekal membisu terhadap kekejaman Israel dan sekutunya ke atas rakyat Gaza dan Tebing Barat.
''Usaha gigih Iran untuk bangkit melawan dan memberikan tamparan bertubi-tubi kepada keangkuhan Israel menjadi detik penting dalam sejarah dunia.
''Lebih mengagumkan, semua ini dicapai ketika Iran masih berhadapan sekatan ekonomi global yang parah, serta tekanan dari kuasa besar dunia yang bersatu,'' katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Raja Kamarul terus memberi pujian kepada negara republik itu dengan menyatakan bahawa Iran bangkit mempertahankan keadilan meskipun berhadapan dengan kekuatan tentera Israel dan sokongan penuh AS serta negara Barat.
Ujarnya, negara-negara Islam lain yang berjiran dengan Palestin terus membisu tanpa rasa malu membiarkan kekejaman serta pembunuhan beramai-ramai oleh Israel ke atas rakyat Palestin sehinggalah Iran menyerang dan menghancuran kota kota besar Israel seperti Tel Aviv dan Haifa dengan peluru berpandu balistiknya.
''Dunia terdiam apabila Iran berjaya membalas serangan Israel dengan begitu berkesan kerana belum pernah ada mana-mana negara yang berani berbuat demikian.
''Dunia (Islam) turut berasa lega apabila akhirnya ada yang tampil dengan keberanian dan ketegasan untuk menentang kekejaman yang berlarutan terhadap rakyat Palestin.
''Semua ini berlaku dalam konteks sekatan ekonomi berpanjangan terhadap Iran, di tengah-tengah persekitaran serantau yang tidak mesra kepada Iran, sedangkan negara-negara jiran Islam yang kaya dan kuat lebih rela menutup mata terhadap pembunuhan sistematik saudara seagama Islam mereka yang disiarkan secara langsung di media antarabangsa,'' katanya sinis.
Malah kata Raja Kamarul lagi, suara tunggal Iran yang berani telah menjadi penyelamat kepada golongan tertindas di seluruh dunia dalam peradaban moden yang kian kehilangan nilai-nilai kemanusiaan dan pemisahan antara hak dan batil.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, menyeru seluruh rakyat Iran untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan negara mereka dalam menghadapi tekanan dalaman dan luaran.
Beliau berharap Iran tidak akan berjaya dimusnahkan oleh kuasa Barat seperti Iraq dan Afghanistan yang pernah ditawan AS dan sekutunya pada 2003 dan 2001 lalu.
"Israel sedang menggunakan helah yang sama untuk menggugat kestabilan Iran dari dalam (mahu rakyat gulingkan kerajaan) setelah gagal menundukkan Iran melalui peperangan konvensional sejak awal.
"Dunia pula memilih untuk membisu terhadap tindakan Israel membunuh para pemimpin Iran, dalam satu konspirasi kejam yang sepatutnya menimbulkan kecaman besar-besaran.
"Kepada rakyat Iran yang bijaksana dan berani, ketahuilah bahawa masyarakat dunia yang luhur memandang tinggi keberanian dan kebijaksanaan kalian dalam memberi reaksi yang tenang dan bermaruah terhadap serangan dari Israel," katanya lagi.
Komentáře