IPT berhak batal penempatan latihan industri jika berisiko – KPT
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Institusi pendidikan tinggi (IPT) berhak membatalkan penempatan latihan industri dan memanggil semula pelajar latihan industri sekiranya timbul sebarang isu berkaitan risiko keselamatan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim (gambar) berkata begitu di Dewan Negara pada Selasa sebagai menjawab soalan mengenai mekanisme pemantauan untuk memastikan syarikat penyedia latihan mematuhi standard keselamatan susulan kematian seorang pelajar latihan industri ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lepas.
"Kita tentu sekali kesal apabila berlaku sebarang kemalangan melibatkan pelajar yang mengikuti latihan industri.
"Sebab itu kita sentiasa mantapkan terutama sekali dari sudut pemantauan dan pelaporan," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu menurut beliau, pelajar dalam program yang melibatkan persekitaran kerja berisiko tinggi turut diwajibkan mengikuti kursus atau memperoleh pensijilan keselamatan berkaitan sebelum dibenarkan menjalani latihan industri.
Manakala pihak IPT juga perlu menjalankan tapisan lebih ketat terhadap rekod keselamatan, laporan terdahulu dan reputasi sesebuah organisasi sebelum meluluskan penempatan pelajar.
"Bagi bidang berisiko tinggi, hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan dan mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang sesuai dipilih sebagai lokasi untuk latihan industri bagi pelajar-pelajar kita," jelasnya.
Adam Adli turut menegaskan, sepanjang tempoh latihan dijalankan, prestasi dan keselamatan pelajar akan dipantau secara berkala oleh penyelia akademik serta penyelia industri menerusi lawatan fizikal atau dalam talian selain semakan laporan kemajuan serta komunikasi berkala.
Semua pelajar yang menjalani latihan industri juga jelasnya turut dilindungi di bawah Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Universiti sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini sepanjang tempoh latihan.




Comments