Teruja dengan sambutan rakyat dengan pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), ditambah lagi setelah mesin layan diri Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) mula beroperasi pada 26 Februari lalu, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan mencuba sendiri mesin berkenaan yang diletakkan di stesen LRT Cempaka, Ampang pada Khamis lalu.
Beliau yang selesa dengan penggunaan mesin berkenaan ketika membeli makanan berpaket berharga RM2 menyeru agar Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli segera membawa program IPR ke Kelantan.
Katanya, rakyat Kelantan yang suka berniaga akan pasti teruja dengan perniagaan berkonsepkan mesin vending seperti itu.
"Kalau dibuat di Kelantan bagus, IPR ini boleh bantu rakyat di Kelantan.
"Kalau boleh wujudkan mesin vending ini di Kota Bharu dan bandar bandar di negeri ini. Konsep ini bagus," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Zinda lagi, konsep menjual makanan melalui inisiatif itu akan menjana pendapatan tambahan kepada golongan B40 di bandar yang kekurangan peluang pekerjaan.
"IPR sebenarnya belum ada di Kelantan. Program baru dirasmi di Selangor dan Negeri Sembilan.
"Oleh itu kita minta kerajaan prihatin juga di Kelantan untuk bawa inisiatif ini, khususnya bagi golongan miskin bandar meningkatkan ekonomi mereka," katanya lagi.
IPR mempunyai 3 komponen iaitu Inisiatif Usahawan Pertanian (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
INTAN dan INSAN telah dilancarkan di Selangor dan mendapat sambutan. Skim tersebut akan dilancar di negeri negeri lain dengan kerjasama Kerajaan Negeri, terutama INTAN yang memerlukan tapak tanah untuk diusahakan.
Comments