Sebanyak 10,605 peserta dari seluruh negara telah mendaftar untuk menyertai program jana pendapatan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan pada 26 Februari lalu.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) menerima pendaftaran tertinggi dengan 56 peratus, 32 peratus pendaftaran bagi kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan 12 peratus Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
"Kementerian Ekonomi akan berhubung dengan para pemohon untuk langkah dan tindakan yang seterusnya.
"Kepada yang berminat dan masih belum memohon, anda boleh klik link ini untuk mendaftar https://ipr.epu.gov.my/login,” katanya di Facebook.
IPR yang dilancarkan Kementerian ekonomi bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan.
Ia menumpukan usaha membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan dengan mewujudkan ekosistem antara pemohon, pemegang taruh dan masyarakat setempat.
Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar Madani.
Comments