top of page

IPR: 19,000 daftar dalam seminggu, tumpu 20 daerah termiskin

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Mar 6, 2023
2 min read


Skim Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah memperolehi kejayaan awal dengan pendaftaran hampir 20,000 peserta dalam tempoh seminggu penyertaan dibuka.


Menurut Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, kerajaan amat berterima kasih dengan sambutan yang menggalakkan dari rakyat untuk melengkapkan 100,000 penyertaan dalam setahun.


"Skim ini amat berlainan dari skim bantuan terus. Skim ini memerlukan orang ramai tampil ke hadapan untuk mengisi peluang menjana pendapatan yang ditawarkan kerajaan. Kebimbangan saya tidak dapat sambutan.


"Skim (seperti usahawan makanan) bukan sahaja nak turunkan harga tetapi beralih ke mesin vending kerana kaedah itu lebih baik dan membantu struktur ekonomi terutama yang bergantung kepada pekerja asing.


"Kita tidak boleh terus mengharap orang akan layan kita. Maka industri mesin vending ini akan tumbuh lebih cepat dan akan memberi pekerjaan kepada jurutera, TVET dan sebagainya (membuat mesin).


"Setakat ini kemaskini melalui laman IPR seramai 22,319 orang peserta sah mendaftarkan diri dan sasaran kita untuk mencapai 100,000 setahun," katanya.


Rafizi juga membariskan permohonan tertinggi pendaftaran adalah dalam sektor Insan yang melibatkan mesin vending sebanyak 52%, 29% Intan atau usahawan tani dan 19% untuk Ihsan atau operator perkhidmatan.


Beliau juga teruja dengan permohonan 376 daripada agensi, syarikat serta pelbagai pihak untuk membeli hasil pertanian yang akan bakal diusahakan.


"Kerana program yang lepas cabaran paling besar adalah mendapatkan pembeli. Sebab itu kita ubah kaedah daripada menyediakan peralatan tanaman kemudian serahkan kepada mereka untuk jual hasil, kepada lebih baik.


"Ada masalah orang tengah, harga tak betul, lepas sekali dua pusingan menanam mereka putus asa kerana rugi. Jadi dengan ada pembeli yang disusun, selain rakan strategik seperti kita umum semasa pelancaran dalam kalangan pembeli borong dan pasar raya," katanya.


Bagaimanapun setakat ini dari segi permohonan Selangor mencatat permohonan tertinggi, diikuti Johor dan Perak.


Katanya, pola menunjukkan penyertaan banyak dicatat di negeri Pantai Barat dan tidak dalam lingkaran kemiskinan seperti Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak atau Perlis.


Untuk itu, kata Rafizi, satu program tumpuan khas melibatkan 20 daerah termiskin akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi meningkatkan penyertaan dalam golongan miskin tegar dan B40.


"Kita telah menjangkakan pola ini, negeri yang ramai miskin tegar dan B40 yang paling perlahan menyertainya. Kelantan, Terengganu dan Perlis yang kita tahu ramai miskin dan B40.


"Kadar penyertaan jauh lebih rendah dan ini kesukaran pelaksanaan di masa lepas. Kita akan beri tumpuan, kita pastikan negeri yang mempunyai miskin tegar ramai perlu ada campurtangan khusus bukan sahaja kementerian tetapi juga pemegang taruh dari negeri terusebut, termasuk orang ramai. Kalau tengok ada jiran yang miskin boleh didaftarkan. Juga PBT, Ahli Parlimen, ADUN perlu membantu penduduk kawasan mereka masuk program seperti ini.


"Kementerian selepas ini akan memanggil pemimpin 20 daerah paling miskin di Malaysia supaya kita usahkan dengan tumpuan khusus di daerah yang paling miskin ini," katanya.


Bagi tapak pertanian pula beliau berkata 3 minggu diperlukan untuk mendapatkan tapak pertama dimasuki usahawan tani.


Pihak kementerian, katanya sedang berusaha secepat mungkin untuk memastikan pada bulan April tapak pertama mula dioperasi.


Di samping itu, beliau juga memberi jaminan hasil keuntungan usahawan tani adalah 100% kerana kerajaan telah memikirkan mengenai kos baja dan racun serta tidak akan membebankan usahawan tani sebagaimana program sebelum ini.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page