
Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu diteruskan untuk mengembalikan integriti Polis Diraja Malaysia selaku pihak berkuasa yang dihormati rakyat di negara ini.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata IPCMC tidak sepatutnya dijadikan mainan politik pihak tertentu kerana ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap anggota polis.
"Hakikatnya kita tidak mahu moral anggota polis seramai lebih 130,000 jatuh kerana kononnya ada yang mendakwa IPCMC menyebabkan anggota polis berasa terancam.
"Sedangkan saya percaya, semua pihak sentiasa berada dibelakang anggota polis dan menaruh kepercayaan kepada mereka selaku anggota keselamatan," katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
Pada masa sama, Shamsul berkata IPCMC juga boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.
"Pihak PDRM sendiri pernah berkata bahawa beberapa klausa boleh disemak semula.
"Antaranya kuasa siasatan dan tindakan disiplin yang dianggap boleh menekan anggota keselamatan.
"Jadi maksud dalam beberapa klausa IPCMC perlu dikenal pasti, bagi menambah baik anggota PDRM," katanya.