Intimidasi musnahkan negara: Tiada siapa wajar jadi mangsa permainan politik - Nurul
- Suara Keadilan

- Aug 14
- 2 min read

Serangan ke atas anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan mesej ugutan yang diterima oleh isteri beliau mengejutkan negara.
Bagi Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar), insiden yang menimpa anak mantan Menteri Ekonomi itu dianggap amat mengerikan terutama kepada psikologi kanak kanak, yang tidak mengerti persaingan politik orang yang lebih dewasa.
"Tiada seorang pun kanak-kanak sepatutnya terdedah kepada bahaya sebegini. Tindakan sebegini bukan sahaja merupakan jenayah besar, malah telah melanggar prinsip asas kemanusiaan.
"Sebagai seorang manusia dan seorang ibu, saya memahami keresahan serta kegusaran yang sedang ditanggung oleh Saudara Rafizi dan keluarga.
"Saya berasa amat terkesan kerana sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya menumpukan perhatian kepada usaha melindungi murid-murid sekolah daripada ancaman dan buli di alam maya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Nurul Izzah, persaingan politik tidak sewajarnya membabitkan keselamatan keluarga - intimidasi atau ugutan - apatah lagi ke atas kanak kanak yang tidak berdosa.
Katanya, politik adalah medan pertarungan idea dan pandangan, amat tidak wajar keluarga dijadikan bahan pertaruhan.
"Saya, mewakili seluruh keluarga besar KEADILAN, mendesak pihak berkuasa untuk bertindak segera (dalam hal ini), menyiasat dengan telus, dan memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan – tanpa kompromi dan tanpa pengecualian," tegasnya.
Menurut Nurul Izzah, ugutan dalam politik sekiranya jika tidak ditangani hanya akan menyebabkan rakyat hilang harapan dan negara bakal musnah.
"Tiada sesiapa yang wajar dijadikan sasaran atau mangsa dalam permainan politik, dalam apa jua bentuk sekali pun.
"Dalam hal ini, kita wajib mengetepikan segala perbezaan dan mengecam dengan sebulat suara terhadap tindakan yang telah melangkaui batas ini.
"Saya menzahirkan rasa simpati buat Ben (anak), Fisha (isteri) dan Raf, dan mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan, memberikan kekuatan dan perlindungan buat mereka sekeluarga," katanya.
Justeru Nurul Izzah mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menentang budaya buli serta intimidasi bagi membina Malaysia ke arah negara yang benar-benar selamat buat semua warganya.









Comments