Intervensi segera dilakukan tangani kemerosotan subjek SPM - Fadhlina
- Suara Keadilan
- Apr 30
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan langkah-langkah segera bagi mengatasi kemerosotan subjek dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, intervensi tersebut akan dilaksana menerusi pelbagai pendekatan bagi meningkatkan kembali peratusan calon yang lulus.
"Komitmen kita jelas iaitu kita akan lebih bekerja keras untuk memastikan untuk tahun-tahun mendatang untuk setiap subjek ini menunjukkan peningkatan termasuk Matematik.
"Tahun lalu apabila Bahasa Melayu dan Sejarah menunjukkan penurunan maka kita terus buat intervensi segera dan tahun ini keputusan itu menunjukkan intervensi kita berjaya," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas menyempurnakan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024 di Putrajaya pada Selasa.
Media baru-baru ini memetik Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 yang mendapati seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik.
Jumlah itu merangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan sekaligus mencatatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil oleh calon-calon SPM.
"Insya-Allah, saya sangat yakin dan percaya setiap intervensi itu ada hasil dan menunjukkan kekuatan guru-guru kita dalam menangani isu-isu keciciran ataupun kegagalan ini dengan lebih efektif," tambah Fadhlina.
Comments