Asrama Yayasan Terengganu, Kemaman ditutup: INTELEK tuntut penjelasan
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu (INTELEK Terengganu) menyifatkan keputusan Yayasan Terengganu (YT) menutup operasi Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) secara rasmi dan kekal mulai 2026 menimbulkan banyak persoalan mengenai kebajikan pelajar.
Penutupan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi YT bertarikh 1 Disember 2025, rujukan 004/42/1/5 JLD 4 (27), yang memaklumkan bahawa pelajar akan dipindahkan secara berperingkat sehingga Jun 2026.
Setiausaha INTELEK Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tindakan YT menutup AYTK tanpa sebarang penjelasan kukuh adalah tidak bertepatan dengan prinsip amanah pendidikan yang sepatutnya dijunjung oleh institusi tersebut.
"INTELEK Terengganu mendapati bahawa surat tersebut tidak menyatakan sebab rasmi mengapa AYTK ditutup, sama ada melibatkan isu kewangan, penyelenggaraan, dasar baharu atau faktor-faktor lain," katanya.
Sehubungan itu, INTELEK Terengganu menzahirkan kebimbangan mengenai perpindahan pelajar yang dijadualkan berlaku secara berkelompok sehingga pertengahan 2026.
"Di manakah pelajar akan ditempatkan selepas ini? Adakah ia akan membebankan ibu bapa dari segi kos dan jarak? Adakah asrama alternatif memenuhi standard keselamatan dan pembelajaran? Tanpa pelan mitigasi yang jelas, ramai keluarga akan terkesan," katanya.
Menurut INTELEK, penutupan asrama yang telah lama berfungsi menampung pelajar dari keluarga kurang berkemampuan itu menimbulkan persoalan sama ada kemudahan pendidikan rakyat sedang dikurangkan, sedangkan YT ditubuhkan untuk memperluaskan akses pendidikan.
Apakah Rasional Penutupan?
Kenyataan itu turut mempersoalkan sama ada keputusan tersebut sebahagian daripada langkah penjimatan negeri atau melibatkan perancangan untuk menggantikan asrama dengan kemudahan baharu.

"Mengapa kemudahan asrama yang sudah lama berfungsi kini ditutup secara kekal?
"Adakah terdapat perancangan menggantikan AYTK dengan kemudahan baharu?
"Adakah penutupan ini sebahagian daripada langkah penjimatan negeri?" tanyanya.
INTELEK Terengganu juga mempersoalkan ketiadaan sesi libat urus rasmi antara YT dengan ibu bapa, guru atau komuniti setempat.
"Kami tidak mahu keputusan dibuat secara tergesa-gesa atau bersifat unilateral sehingga meminggirkan suara rakyat," katanya lagi.
Justeru, pertubuhan itu menggesa Yayasan Terengganu tampil dengan penjelasan rasmi berkenaan penutupan AYTK; perancangan terperinci penempatan pelajar selepas penutupan; jaminan tiada pelajar akan tercicir; dan komitmen menggantikan AYTK dengan kemudahan setara atau lebih baik.
Ahmad Nadhir menegaskan bahawa pendidikan adalah satu amanah besar yang tidak boleh dipandang ringan dan wajib dipertahankan oleh kerajaan Terengganu.





