top of page

Integrasi nasional bukan hanya politik tetapi semua sektor kehidupan



Kerajaan Perpaduan disaran agar mengutamakan konsep integrasi nasional dalam semua bidang pemerintahan.


Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata demikian sesuai dengan perbahasan perwakilan Sarawak pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Putrajaya bulan lalu.


Menurut beliau, integrasi nasional bukan sahaja perlu diterapkan dalam isu politik dan wilayah tetapi juga merangkumi semua sektor pentadbiran.


"Integrasi nasional secara menyeluruh perlu diungkap dan dikaji dengan mendalam. Integrasi tidak harus tertumpu kepada hubungan politik antara wilayah tetapi merangkumi semua sektor kehidupan bernegara.


"Meskipun negara kita sebuah negara demokrasi dan kerajaannya memberi kebebasan bersuara namun kita masih memerlukan peraturan untuk mengikat disiplin rakyatnya supaya tidak ada yang bertindak di luar batas perundangan (menyebar fitnah dan tohmahan).


"Kuasa politik yang berani dan memandang jauh ke hadapan boleh merobah sesebuah negara mengikut sistem yang digubal," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Abang Zulkifli, salah satu cara untuk mendidik rakyat dalam kerangka integrasi nasional adalah dengan menerapkannya dalam sistem pendidikan negara.


Katanya, sejak wujudnya Malaysia kuasa politik belum mampu menerbitkan satu sistem pendidikan yang benar benar berbentuk kenegaraan. Iaitu sebuah negara yang bertunjangkan kepada Rukun Negara sebenar.


"Sistem Pendidikan harus berada dalam satu jajaran sahaja. Jajaran yang bercabang akan melahirkan masyarakat yang rencam. Sikap umpama 'enau dalam belukar' terus mencelarukan hubungan antara kaum. Penggunaan Bahasa Malaysia pun masih dipertikaikan.


"Sebuah negara berdaulat seharusnya mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan yang mengiktiraf bahasa tunggal iaitu Bahasa Malaysia, namun dalam masa yang sama, bahasa bahasa dan budaya ras ibunda sesuatu kaum itu terus disuburkan serta dimasukkan dalam korikulum sekolah satu jajaran.


"Pengasingan yang berlaku dalam sistem pendidikan (hari ini) adalah satu punca integrasi ampuh negara ini gagal dicapai. Pengasingan kaum, budaya dan kepercayaan itu bermula di alam persekolahan. Kuasa politik harus lebih berani dan tegas untuk mengkaji sistem yang ada," katanya.


Selain itu, tambah Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak itu, hubungan antara tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sarawak dan Sabah perlu lebih diperkukuhkan.

Hal itu, katanya, disebabkan sikap stereotype dan sentimen kedaerahan masih menebal walaupun Malaysia sudah wujud lebih 65 tahun yang lalu.


"Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan langkah yang sangat berani untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian MA63.


"Walaupun kita faham sebahagian pemain politik dan rakyat di Semenanjung tidak memihak kepada agenda ini. Manakala kita di Sabah dan Sarawak pun memahami mengapa mereka tidak memihak kepada agenda tersebut.


"Perlaksanaan agenda MA63 pada masa ini akan mengukuhkan lagi hubungan politik antara wilayah," katanya.


Abang Zulkifli turut mencadangkan agar integrasi dilakukan melalui bidang sukan. Katanya, SUKMA merupakan idea yang bernas.


"Tahun 2024 pesta Sukan SUKMA akan dikelolakan di Sarawak. Sebagai anak kelahiran Sarawak, saya mengalu-alu kehadiran saudara-saudara saya dari Semenanjung dan Sabah bersempena SUKMA itu kelak.


"Juga kerajaan disaran mempertingkat usaha penempatan pelajar atau pertukaran pelajar antara wilayah. Dalam program tersebut bolehlah diselitkan dengan aktiviti anak angkat pelajar.


"Program seumpama ini banyak dilakukan terdahulu. Lawatan sambil belajar dan pertukaran lawatan dari kalangan para belia patut dianjur lebih kerap antara wilayah dan negeri," katanya lagi


Bagi, Abang Zulkifli, kerajaan dan NGO juga boleh menganjur dialog rentas agama dan budaya.


Katanya, reformasi dan konteks integrasi tidak boleh terlepas pandang. Kesatuan dan kesepakatan dalam hal bernegara berdaulat perlu diutamakan.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page