"Insya-Allah kita akan jumpa" - Anwar cari warga emas naik beca ingin bertemunya


Kisah menyentuh hati seorang warga emas berusia 86 tahun yang sanggup mengayuh beca hampir satu kilometer semata-mata mahu membawa isterinya melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara itu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Anwar memohon maaf kerana tidak sempat bertemu pasangan berkenaan ketika kunjungannya ke Senggarang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun menzahirkan harapan agar pertemuan itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
"Maaf, hari ini kita belum sempat bertemu. Insya-Allah, kita akan berjumpa nanti.
Terima kasih atas dukungan dan sokongan yang diberikan. Semoga Allah SWT mengurniakan kalian kesihatan yang baik serta mempermudah segala urusan," kata beliau.
Hantaran itu dipercayai ditujukan kepada Abdul Razak Pelangga, 86, dan isterinya, Jamilah Samsudin, 64, yang menjadi perhatian ramai selepas kisah mereka dilaporkan media.

Sebelum itu, Abdul Razak yang juga Imam Masjid Raudhatul Jannah Parit Bugis sanggup mengayuh beca dari kediaman mereka di Kampung Parit Bugis ke Kedai Kopi Hailam Sri Medan di Senggarang bagi memenuhi hasrat isterinya melihat Perdana Menteri dari dekat.
Menurut beliau, walaupun mempunyai pilihan untuk memandu kereta atau menunggang motosikal, beca menjadi pilihan kerana lebih mudah dan tidak perlu bersusah payah mencari tempat letak kenderaan.
Lebih mengharukan, Abdul Razak berkata beliau pernah berpeluang bertemu Anwar bertahun-tahun dahulu ketika pemimpin itu menunaikan solat di masjid tempat beliau menjadi imam.
Malah beliau masih mengingati sifat mesra yang dimiliki Anwar sejak dahulu.
"Lama bertahun dahulu, sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah datang solat di masjid kami. Saya yang mengimamkan jemaah ketika itu. Selepas solat kami bersalaman dan bertegur sapa. Beliau sangat mesra, saya ceritakan pengalaman itu kepada isteri.
"Apabila tahu beliau berada di sekitar sini, saya memang berhasrat membawa isteri bertemu Perdana Menteri. Kami berdua gembira hari ini. Walaupun tidak dapat bertentang mata kerana terlalu ramai orang, dapat melihat beliau dari dekat pun sudah memadai. Selama ini hanya melihat beliau di televisyen," katanya dipetik Bernama.
Walaupun pertemuan yang diimpikan tidak menjadi kenyataan pada hari tersebut, maklum balas Anwar menerusi mesej ringkas tetapi penuh makna itu memberi harapan bahawa hasrat pasangan warga emas berkenaan bakal tertunai.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor, Pakatan Harapan menurunkan calonnya Onn Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat bagi kerusi DUN Senggarang.




Comments