Institusi pendidikan, agensi kerajaan perlu berkecuali dari aktiviti kepartian
- Akmal Manaf
- 11 minutes ago
- 2 min read

Institusi pendidikan dan agensi kerajaan perlu kekal berkecuali dan tidak dijadikan platform bagi aktiviti politik kepartian, tegas Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi (gambar).
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan itu mengulas dakwaan mengenai penglibatan pelajar dalam kempen berunsur politik sebuah parti di premis kerajaan di Kluang, Johor pada 4 Julai lalu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohamad Ezzat berkata, jika benar perkara itu berlaku seperti didakwa, ia merupakan taktik politik lama yang tidak lagi wajar diamalkan dalam landskap politik negara pada hari ini.
"Institusi pendidikan dan agensi kerajaan sepatutnya kekal berkecuali serta tidak dijadikan alat untuk mana-mana parti politik.
"Kemudahan yang dibiayai oleh wang rakyat hendaklah digunakan untuk tujuan pendidikan, pembangunan modal insan dan penyampaian perkhidmatan, bukannya bagi kepentingan politik mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan dibangkitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tee Boon Tsong semalam, berhubung pelajar sebuah kolej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Johor yang didakwa dikehendaki menghadiri satu ceramah politik Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Ezzat berkata, politik yang matang perlu bertanding dengan idea, rekod perkhidmatan dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya bergantung kepada penggunaan kemudahan kerajaan.
"Dalam era politik yang semakin terbuka, rakyat khususnya golongan muda mampu menilai sendiri pendekatan yang digunakan oleh mana-mana parti.
"Oleh itu, semua pihak perlu menghormati sempadan antara pentadbiran kerajaan dan aktiviti politik demi memelihara integriti institusi awam serta memastikan amalan demokrasi yang lebih sihat dan beretika," ujarnya lagi.
Terdahulu, Boon Tsong mendakwa beliau menerima aduan pelajar dikehendaki oleh pihak kolej untuk menghadiri acara di sebuah premis kerajaan di Kluang pada 4 Julai lalu.
"Kehadiran diwajibkan oleh kolej. Pelajar tidak tahu apa tujuan acara itu. Apabila tiba di lokasi, mereka mendakwa diminta menukar pakaian kepada baju biru untuk ketibaan (Datuk) Onn Hafiz dan dipaksa melaungkan slogan kempen," katanya dipetik laporan FMT.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
