
Institusi Parlimen mempunyai peranan lebih besar dalam melakukan semak dan imbang terhadap kementerian dan agensi kerajaan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop berkata, Parlimen tidak sepatutnya dilihat sebagai tempat perbahasan antara blok kerajaan dan pembangkang semata-mata
"Kalau dalam sistem Westminster ia (wakil rakyat) disebut sebagai legislator atau penggubal undang-undang. Namun, dalam konteks (di negara) kita ini, kita sudah terbiasa dengan (pengasingan), ini blok kerajaan dan ini pembangkang.
"Persidangan hanyalah satu juzuk atau bahagian daripada fungsi Parlimen yang mempunyai peranan penting dalam mencapai agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.
"Saya secara peribadi lihat Ahli Parlimen jangan terbawa-bawa dengan sentimen kepartian dan politik sempit untuk menjaga kepentingan parti masing-masing," katanya.
Ismail sebelumnya hadir dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Titah Agong: Junjung Daulat Negara, Rakyat Sejahtera' terbitan Bernama TV.
Beliau sementara itu menegaskan, dalam sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, institusi Parlimen disebut sebagai 'dewan yang mulia' menunjukkan ia sangat 'sakral' kepada setiap ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah.
Justeru tegasnya, apabila wakil rakyat memasuki Parlimen, mereka adalah penggubal undang-undang dan perlu menjaga etika sebagai individu yang diberi mandat oleh rakyat.
"... dalam demokrasi yang lebih terbuka dan liberalisasi maklumat, jangan lupa rakyat sedang memerhati, jangan sampai rakyat hilang keyakinan kepada institusi tertinggi negara. Saya fikir itu mesej penting yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim," tambahnya.
Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 pagi Isnin mengingatkan semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bahawa dewan yang mulia adalah tempay membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara dan bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah.
Comments