Insiden seorang pensyarah wanita Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dibunuh selepas pergaduhan dengan suaminya sewaktu balik bercuti Hari Raya Aidiladha harus dijadikan iktibar.
Ketua Wanita KEADILAN Fuziah Salleh berkata, kerajaan perlu mewujudkan institusi khas menangani masalah pasangan bermasalah.
Selain itu, katanya, masyarakat juga perlu mengambil tahu masalah para jiran tetangga dan melakukan kaunserling yang termampu.
"Kita dikejutkan dengan berita seorang pensyarah wanita dari salah satu IPTA di Malaysia yang dilaporkan dibunuh dengan cara dililit leher menggunakan tudung yang dipakai olehnya. Suami wanita tersebut kemudian mengaku bersalah dan dilaporkan juga pasangan tersebut sedang berhadapan masalah.
"Wanita KEADILAN mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham yang tentunya terkesan serta mendoakan kesabaran buat seisi keluarga.
"Seharusnya jika satu-satu keluarga berhadapan masalah, tidak harus segan atau malu untuk meminta pertolongan dari ahli keluarga, rakan sekerja, jiran tertangga mahupun dari institusi khas yang diwujudkan untuk menolong.
"Masyarakat juga harus ambil tahu serta tidak rasa terhalang dari menghulurkan bantuan. Kita perlu mainkan peranan bantu membantu, peka di atas keperluan mereka di sekeliling serta sungguh- sungguh membina masyarakat yang prihatin," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Fuziah menekankan agar keluarga dijadikan satu institusi yang mengeratkan hubungan berkasih sayang yang kemudiannya mampu membentuk masyarakat harmoni serta ummah. Hal itu perlukan komitmen daripada semua pihak, samada individu dalam keluarga, masyarakat setempat, sistem sokongan yang baik, serta juga dasar-dasar kerajaan yang membina.
"Institusi keluarga merupakan unit-unit kecil membentuk masyarakat yang dibina di atas dasar kasih sayang, tolak ansur, mawaddah wa rahmah serta nilai-nilai murni yang di pupuk dalam keluarga.
"Sekiranya baik institusi keluarga, maka baiklah juga masyarakat yang terhasil darinya," katanya lagi.
Comments