top of page

Institusi kehakiman kekal bebas, PM sambut baik kenyataan pelbagai pihak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 18, 2025
  • 1 min read

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan-kenyataan dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam, berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Anwar terkesan dengan teguran yang diberikan oleh NGO dalam isu berkenaan.


"PM Anwar terima baik kenyataan yang telah dibuat oleh badan-badan termasuk Majlis Peguam dan Bersih.


"Rata-ratanya (memberikan kenyataan) positif dan memberi peringatan bahawa ia bukan sekadar pelantikan, tetapi perlu dilihat sebagai proses reformasi dan menambah baik institusi.


"Paling penting, institusi kehakiman kekal bebas dan tidak dicemari pihak luar sama ada legislatif atau eksekutif," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden KEADILAN Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam hari ini.


Program berkenaan turut dihadiri oleh Anwar sendiri, Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan; Setiausaha Agung KEADILAN, Senator Dr Fuziah Salleh; Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek serta Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Kamil Munim.


Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, tohmahan dan pelbagai fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara akhirnya terjawab.


Malah ujarnya, Anwar juga telah mematuhi sepenuhnya proses yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Nama-nama yang dibawa adalah yang disediakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).


"Tiada ada sebarang nama yang tidak diberikan, kecuali melalui proses seperti yang telah dinyatakan dalam Akta JAC dan menuruti proses seperti yang terkandung dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.


"Ini bermaksud, PM Anwar menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) setelah berbincang dengan Majlis Raja-Raja.. jadi tidak timbul (apa-apa) isu," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page