
Pakatan Harapan (PH) Johor menyifatkan insiden 'tunjuk perasaan' beberapa anak muda menggunakan suar dan menaikkan kain rentang "Kerajaan Gagal" di Parit Raja, Johor baru-baru ini sebagai manifestasi keresahan rakyat terhadap kelemahan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Menurut kenyataan PH Johor, pimpinan ketiga-tiga parti komponen telah melawat keluarga yang mana anak-anak mereka ditahan reman berhubung insiden itu dan melahirkan rasa simpati.
"PH Johor berpandangan, insiden Parit Raja merupakan manifestasi kegelisahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan menguruskan isu-isu negara ketika ini termasuklah Covid-19.
"Akibat kegagalan itu, rakyat terus tertekan dengan kos sara hidup serta perlaksanaan dasar-dasar dwi-standard yang memangsakan survival
ekonomi rakyat biasa," kata mereka dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, PH Johor mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional memanggil sidang Parlimen dan DUN bagi membincangkan masalah rakyat dan mencari solusi terbaik untuk menyelesaikannya.
"PH mendesak agar kerajaan segera membuka Parlimen dan DUN Johor agar isu-isu dapat dibahaskan dan dasar-dasar yang membantu rakyat dapat dilaksanakan.
"Pada masa sama, PH Johor akan menawarkan khidmat guaman pro bono (percuma) kepada mereka yang didakwa terlibat dengan insiden Parit Raja bagi membantu menghadapi saat sukar ini," kata mereka lagi.