Insiden Putra Heights dibahas di DUN Selangor, MB beri penjelasan penuh
- Suara Keadilan
- Jul 8
- 2 min read

Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) akan membahaskan usul mengenai insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, kata Speaker Lau Weng San.
Menurut beliau perbahasan tersebut akan diadakan selepas Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memberikan taklimat khas mengenai laporan insiden tersebut kepada semua wakil rakyat.
"Akan ada, seperti yang saya nyatakan ada perbahasan selepas ini pada sebelah petang Menteri Besar akan berjumpa dengan semua ahli dewan untuk memberi taklimat.
"... selepas itu dewan bila bersidang semula dan kita semua akan mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Kerajaan akan memberi penjelasan mengenai perkara yang dibahaskan," katanya dipetik pada sidang DUN Selangor semalam.
Terdahulu Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) membangkitkan persoalan mengenai keputusan Speaker menolak rayuan daripada 20 penama yang dikatakan sebagai mangsa yang terkesan akibat insiden letupan pada 1 April lepas supaya insiden itu dibincangkan di DUN Selangor kali ini.
Weng San dalam penjelasannya menyatakan rayuan tersebut yang merupakan kali pertama dilakukan telah ditolak kerana Menteri Besar terlebih dahulu telah mengemukakan permohonan bagi membuat taklimat berhubung insiden itu dan kemudiannya disusulan perbahasan.
"Saya ingin menekankan bahawa sebab utama kenapa rayuan itu tidak dibenarkan kerana sudah ada permohonan daripada Menteri Besar untuk membincangkan perkara ini di bawah agenda ini yang membolehkan lebih ramai partisipasi daripada semua ahli dewan," katanya.
Terdahulu sesi awal sidang itu hampir menimbulkan kekecohan apabila Afif cuba mengambil kesempatan untuk membacakan rayuan tersebut namun dihalang oleh Speaker kerana menganggap perkara itu tidak dibenarkan ia tidak diluluskan.
Weng San menjelaskan keputusannya menolak rayuan tersebut bukan bermakna isu insiden itu tidak penting tetapi Menteri Besar sehari lebih awal telah memohon slot penerangan yang kemudian disusuli perbahasan dan penggulungan.
"Sekarang saya tidak benarkan [baca], Taman Medan boleh baca rayuan tersebut semasa perbahasan nanti," ujarnya.
Datuk Seri Azmin Mohamad Ali (PN-Hulu Kelang) turut mencelah dengan mempertikaikan mengapa peraturan mesyuarat diubah pada saat akhir dengan memasukkan perkara mengenai penjelasan Menteri Besar itu, namun Weng San menegaskan kerajaan diberi kelebihan untuk menentukan perkara itu selain meminta ketua pembangkang membawa isu insiden berkenaan dalam perbahasan nanti.
Sidang DUN Selangor bermula hari ini dan berlangsung hingga 11 Julai.
Laporan siasatan penuh insiden letupan paip gas Petronas di Putra Heights yang diumumkan 30 Jun lalu merumuskan bahawa kebocoran saluran akibat pergerakan dalam tanah merupakan punca kejadian tersebut berlaku.
Berdasarkan analisis Jabatan Bomba dan Penyelamat geseran yang berlaku pada logam paip gas tersebut telah mencetuskan kebakaran namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatannya mendapat tiada unsur sabotaj atau kecuaian dalam insiden pada 1 April lalu.
Comments