Insiden Putra Heights: Bantuan sewa fasa kedua selesai disalurkan
- Suara Keadilan

- Aug 16
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Penyaluran bantuan sewa rumah sementara untuk fasa kedua kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya sudah diselesaikan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bayaran fasa kedua menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) itu meliputi tempoh Julai hingga September itu telah dikreditkan kepada semua penerima layak pada 6 Ogos lalu.
Bantuan itu membabitkan seramai 144 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan RM864,000.
"Penentuan senarai penerima dibuat selepas proses semakan semula data oleh Unit Pengurusan Bencana Petaling bersama Jawatankuasa Kecil Penyedia Data Mangsa dan wakil komuniti setempat.
"Ia mengambil kira beberapa faktor seperti rumah yang telah siap dibaiki, mangsa yang merupakan penyewa dan telah berpindah, atau yang tidak lagi memerlukan bantuan sewa sementara," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan mangsa terpelihara.
"Pelaksanaan bantuan sewa ini diharap dapat memberi kelegaan sementara dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pemulihan kehidupan harian.
"Bagi mangsa yang masih belum hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk membuat tuntutan semula bantuan sewa, mereka digesa untuk hadir segera bagi membolehkan semakan semula kelayakan dibuat dan bantuan disalurkan sekiranya layak," tambahnya.
Kerajaan negeri sebelum ini telah menyalurkan bantuan sewa untuk fasa pertama (April hingga Jun), seramai 365 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2,190,000.









Comments