top of page

Insiden Putra Height: Selangor lulus Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Ketiga

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Negeri Selangor meluluskan Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Ketiga bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.


Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah (gambar) berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Selasa berikutan keperluan bantuan sewa rumah bagi tempoh Oktober hingga Disember 2025 seperti dilaporkan Pejabat Daerah.


"Pembayaran bantuan akan disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan malam tadi.


Fasa ketiga bantuan tersebut melibatkan 123 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM738,000 sekaligus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan mangsa kebakaran sentiasa diberi perhatian.


"Selain itu, memastikan mereka dapat kembali ke rumah masing-masing apabila keadaan benar-benar pulih dan selamat," tambahnya.


Insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi separa musnah dan 57 unit terkesan tetapi tidak terbakar.


Susulan itu, Kerajaan Negeri meluluskan Bantuan Sewa Rumah Sementara bagi fasa pertama bagi tempoh April hingga Jun dengan peruntukan berjumlah RM2.19 juta kepada 365 ketua isi rumah.


Kerajaan Negeri kemudian meluluskan peruntukan sebanyak RM864,000 sebagai bantuan sewa fasa kedua bagi tempoh Julai hingga September, melibatkan 144 ketua isi rumah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page