Pemimpin pemuda dalam parti komponen kerajaan di negara ini seharusnya mengambil peranan meredakan sebarang pertentangan atau ketegangan sosial yang diadu domba oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, pendekatan yang diambil oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh sejak meletuskan insiden penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart sejak sebulan lalu amat tidak memperbaiki keadaan. Malah, katanya, ia seperti menggalakkan pertentangan dengan seruan beliau untuk memboikot perniagaan.
"AMK Malaysia mengambil serius akan rentetan siri-siri kebakaran cawangan KK Mart akibat unsur sabotaj daripada pihak tertentu.
"Sudah kami tegaskan sebelum ini bahawa, seorang pemimpin politik harus meredakan suhu api ketegangan kaum dalam masyarakat kita yang majmuk dan bukan sebaliknya.
"Namun, Dr Akmal Saleh seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini beliau masih berdalih, tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini.
"AMK menggesa Dr Akmal untuk mengambil tanggungjawab atas ketegangan masyarakat yang semakin berlarutan yang mula disemarakkan menerusi gesaan beliau memboikot perniagaan tersebut," kata Nabil dalam kenyataan pagi ini.
Tegas Nabil, ajaran Islam menggariskan semua perkara harus dilakukan secara bersederhana dan tidak dengan kemarahan yang berlebihan.
Beliau mengingatkan Sabda Nabi Muhammad SAW mafhumnya, "Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, kerana binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap melampau mereka dalam beragama" (Riwayat Ibn Hibban).
Oleh itu, kata Nabil, pemimpin muda Kerajaan Perpaduan seharusnya bersuara lantang ke arah penyatuan bangsa dan idealisme, bukan sebaliknya.
"Justeru, AMK menyeru kepada seluruh masyarakat untuk kekal bertenang serta beri ruang dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan tugas mereka dalam menyelesaikan kes ini.
"Kekalkan keamanan dan kerukunan hidup aman damai yang sekian lama sudah menjadi asas dan kekuatan negara kita yang berbilang bangsa," katanya lagi.
Pada 30 Mac lalu, KK Mart Sungai Isap, Kuantan mengalami kerosakan akibat dilempar bola api pada kira kira jam 5 pagi.
Sebelum itu, rangkaian kedai serbaneka sama di Perak telah diserang menggunakan bom petrol. Serangan didakwa berhubung kontroversi salah satu rangkaian kedai berkenaan yang menjual stoking tertera kalimah Allah.
Σχόλια