top of page

Insiden buli libatkan pelajar jangan dipandang ringan - Junaidah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 25
  • 1 min read

Video tular dipercayai insiden buli melibatkan pelajar asrama sebuah sekolah di Tenom perlu menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa budaya terbabit tidak boleh dipandang ringan.


Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah, Junaidah Makku@Junn (gambar) berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut yang kini sedang dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Beliau turut menegaskan, sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat, kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk keganasan serta intimidasi.


"Sehubungan itu, kami mengharapkan kerjasama semua pihak khususnya pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta komuniti setempat untuk memperkukuhkan program kesedaran dan pendidikan berkaitan pencegahan buli.


"Langkah-langkah proaktif, intervensi awal dan pendidikan nilai hormat-menghormati perlu diperkasakan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.


"Marilah kita bersama-sama memainkan peranan melindungi anak-anak kita dan membina persekitaran pendidikan yang selamat, berperikemanusiaan dan bebas daripada budaya buli," katanya dipetik laporan media tempatan.


Junaidah yang juga Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Sabah sementara itu menyeru kepada masyarakat agar menghormati permintaan keluarga mangsa serta pelajar-pelajar yang terlibat dengan tidak terus menularkan gambar dan video kejadian.


Penularan gambar dan video berkenaan tegasnya bukan sahaja menjejaskan siasatan pihak berkuasa, malah boleh memberi kesan emosi dan trauma berpanjangan kepada mangsa yang masih di bawah umur.

"Semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas tanpa sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," ujarnya.


Polis Daerah Tenom sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah berkenaan yang tular di media sosial.


Setakat ini tiga individu telah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian serta mereka yang terbabit dalam rakaman dan penyebaran video berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page